MTHQK2023 : Satu Perjalanan (1)

Bulan lepas alhamdulillah aku direzekikan untuk sertai Majlis Tilawah dan Hafazan Quran peringkat Kebangsaan, mewakili negeri Perlis untuk hafazan kategori Juzu’ 1-10. Satu pengalaman yang sangatt berharga buat aku. Jadi sebelum aku terlupa macam mana perasaan aku sepanjang perjalanan ni, aku kena tulis kat sini.

Aku bahagikan penulisan ni jadi dua bahagian; satu perjalanan dan satu pengalaman.
Bahagian perjalanan menceritakan episod-episod dari mula aku tahu aku terpilih untuk ke kebangsaan, dan bahagian pengalaman cerita mengenai episod-episod sepanjang 10 hari MTHQK tu berlangsung.

Ok jadi entri ni menceritakan bahagian perjalanan.

Mulakan perjalanan musabaqah ni ialah kerja paling gila kut yang aku pernah buat sepanjang 22 tahun aku hidup. Gila sebab satu, aku tak masyi. Kalau banding dengan kawan-kawan aku yang jenis masuk musabaqah ni, memang jauh macam matahari dengan planet pluto. Jauh beza sangattt. Kedua, sebab aku penakut, stage fright tu dahsyat sangat-sangat. Orang-orang terdekat memang maklum sangat dengan ketakutan aku ni. Setiap kali nak present depan kelas ke, kena bentang dalam meeting ke, apa-apa yang melibatkan aku kena cakap depan orang, memang tangan sejuk macam baru keluar freezer, malam tak boleh tidur lena, tak lalu makan, nervous teruk. Setiap kali, sampai sekarang. Pernah sekali tu aku kena cakap dalam meeting (online), pastu waktu tu aku kat hospital, nurse check aku punya heart rate masa tu 140bpm. Tachycardia. Normal aku 80-100bpm ja, nurse hampir-hampir nak buat ECG test tapi aku bagitahu ni sebab nervous, jadi tak jadi buat. Aku memang sejenis yang tak suka nak cakap depan orang. Kena tebuk depan orang? Lagila. Dan… sebab ketiga, sebab suara. Suara aku senada (lebih jujur, suara aku tak sedap), makhraj tak betul, sebut huruf ra pun tak lepas, apatah lagi nak kena tarannum? Ini satu kerja gila.

Tapi atas sebab semua nila, aku mulakan perjalanan ni. Sampai bila nak duduk di takuk yang sama kan? Niat nak cabar diri, keluar dari zon selesa. Sebab tak masyi la kena masuk, sebab bila masuk kita akan paksa diri kita untuk mengulang. Dan sebab tak berani la kena paksakan diri untuk berani. Kadang benda baik ni kita kena paksa diri di peringkat awal, baru lama-lama dia akan jadi kebiasaan. Part kena tarannum tu, haha aku pejamkan mata jela, hadap jela apa akan jadi. Aku memang tak suka tarannum (bukan setakat belajar, dengar pun kurang suka) tapi nak buat macam mana, kategori yang aku nak masuk ni dia sekali dengan tarannum, tak boleh elak.

Niat asal aku memang nak cabar diri, push diri aku untuk lebihkan masa dengan quran, untuk lebih banyak murajaah quran. Aku memang tak letak harapan atau target untuk menang langsung, lagipun kali pertama kut? Lek lek ja. Masuk musabaqah ni sebagai wasilah untuk lebih dekat dengan quran, jadi menang musabaqah ni bukan suatu hadaf. Menang, masyi, semua tu bonus. Yang penting, kita berusaha sebaiknya.

Tapi dalam perjalanan ni, tipulah kalau kata niat tu tak pernah tergugah. Pentas kebangsaan kut? Kalau bukan untuk impress orang pun, mungkin pernah terdetik untuk tak malukan diri sendiri. Mula-mula aku tak rasa salah pun niat tu, tapi aku fikir balik, tu pun untuk manusia jugak, so sama ja. Nak jaga niat tu semata-mata kerana Allah dari awal mula perjalanan, sampai ke hujungnya bukanlah perkara yang mudah, tapi tula, kena. Kalau tak, segala apa yang kita buat, jadi habaan manthura, jadi debu ja kat akhirat nanti. Sayangkan? Tapi bukan tu ja. Bila melibatkan quran ni, ada satu lagi akibat kalau niat kita sebab manusia. Hadith ni belajar masa MASDAR dulu, dan sampai sekarang terngiang-ngiang lagi, sebab menakutkan.

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا ، قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا ؟ قَالَ : قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ ، قَالَ : كَذَبْتَ ، وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ ، فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ ، وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا ، قَالَ : فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا ؟ ، قَالَ : تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ ، قَالَ : كَذَبْتَ ، وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِئٌ ، فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ ، وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا ، قَالَ : فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا ؟ ، قَالَ : مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ ، قَالَ : كَذَبْتَ ، وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ ، فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ "

Aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam bersabda: Sesungguhnya manusia pertama yang akan diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Beliau akan dibawa dan Allah menunjukkan kepadanya nikmat-nikmat Nya, dan lelaki itu mengakuinya. Lalu Allah bertanya : Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab : Aku telah berperang di jalan Mu sehingga aku mati syahid. Allah menjawab: Engkau bohong! Sebaliknya engkau berperang agar engkau dipanggil pahlawan! Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka. (kemudian giliran) seorang lelaki yang mempelajari ilmu, mengajarkan ia, dan membaca al-Quran. Dia dibawa dan Allah menunjukkan nikmatNya kepada lelaki itu, dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya : Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab : Aku telah mempelajari ilmu, mengajarkan ilmu dan membaca al-Quran kerana Mu. Allah menjawab: Engkau bohong ! Sebaliknya engkau menuntut ilmu untuk dipanggil orang alim, dan engkau membaca al-Quran untuk dipanggil Qari'. Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka. (kemudian giliran) seorang lelaki yang Allah telah meluaskan kepadanya harta, dan dia memberikan hartanya kesemuanya kepada orang yang berhak. Dia dibawa dan Allah menunjukkan nikmatNya kepada lelaki itu, dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya : Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab: Tidak aku tinggalkan sedikit pun jalan yang mana Engkau suka untuk harta dibelanjakan padanya melainkan aku membelanjakan harta aku pada jalan itu untuk Mu. Allah menjawab: Engkau bohong! Sebaliknya engkau melakukan hal itu untuk dipanggil dermawan. Engkau telah mendapat gelaran itu Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.
[Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, hadis no : 1905]

Bayangkan, baca quran, hafal quran, tapi tergolong dalam kalangan yang terawal diseret ke neraka Allah, nauzubillahi min zalik. Jadi tula, sangatt penting untuk kita jaga niat.

Tapi tak bermakna kita tak boleh masuk langsung musabaqah sebab nak jaga niat tak nak menunjuk apa semua tu. Ada banyak lagi kebaikan. Cuma dalam masa yang sama, kita kena sentiasa pelihara dan perbaharui niat tu. Sama jugak macam tunjuk kita buat baik, up story, status pasal ngulang quran apa semua. Bagi aku, selagi niat kita baik, ok ja. Sebabnya, antara sebab aku mula balik murajaah quran lepas 2 tahun tinggalkan quran (aku tahu teruk, jangan ikut 🤧) ialah sebab aku tertampar dengan status kawan-kawan aku yang selalu mengulang. Kita tak tahu amalan kita yang mana yang boleh menginspirasikan orang lain, dan pada akhirnya jadi amalan yang berpanjangan.

Ok tamat muqaddimah. Jadi macam mana aku boleh masuk musabaqah ni?

Aku dari dulu sangat-sangat terinspirasi dengan kawan-kawan sekeliling aku yang selalu masuk musabaqah ni. Dulu duk tengok diorang ni dari jauh ja, kagum dengan diorang tapi aku tahu aku tak boleh jadi macam diorang. Dan sebab kagum tu, kita jadi segan nak kawan dengan diorang. Pernah tak rasa macam ni? Sebab orang tu hebat sangat, kita segan nak dekat dengan dia, kita rasa level kita tak sama. Ha, macam tula aku rasa dengan kawan-kawan DQ aku, dengan Syidah. Tapi macam mana tah, masuk UIA ni, boleh rapat dengan diorang. Jadi bila dah rapat tu, memang diorang ajak, pujuk untuk masukla. Lama aku fikir. Umur aku waktu tu dah 21 tahun, ada lagi 4 kali ja untuk masuk musabaqah (had umur musabaqah 25). Apa kata aku cuba ja? No harm trying, kan?

Jadi begitulah. Aku lepas saringan negeri dan layak ke peringkat negeri pun dah bersyukur sangat-sangatt, kira dah capai target aku sebenarnya. Pastu masa peringkat negeri, dapat jawab semua soalan pun dah sangatt bersyukur, kiranya ok dah kalau sampai situ ja. Tengok-tengok, Allah rezekikan sampai ke peringkat kebangsaan, alhamdulillah thumma alhamdulillah. Cuma satu ja masalah aku, peringkat kebangsaan ada tarannum (Negeri Perlis masa tu takde) jadi nak tak nak aku kena mula belajar tarannum.

Lepas timbang tara kebaikan dan cabaran, aku tekad untuk masuk kebangsaan. Bila dah putuskan untuk masuk ni, maksudnya aku memang kena bersedia untuk tambah komitmen la. Kerja-kerja akademik, tugasan-tugasan yang sedia ada, kelas Itqan, semua tu aku tak boleh abaikan macam tu ja hanya disebabkan aku masuk musabaqah. Masuk musabaqah ni pilihan aku, jadi aku kena bear consequences dia. Agak perit awal-awal masa nak menyesuaikan diri, tapi alhamdulillah, boleh ja sebenarnya. Rupanya aku boleh ja sibuk macam ni, dalam masa yang sama mengulang x juzu’ dalam masa sehari, cuma kena push sikit ja.

Kelas akademik pagi, kelas itqan petang, kelas dengan JAIPs malam. Kelas dengan JAIPs bukan satu, tapi tiga. Kelas tahsin, tarannum dengan tebuk shshsj. Pastu aku minta tolong Kak Izzah tolong ajarkan tarannum jugak sebab aku lagi selesa kelas fizikal dan sebab Kak Izzah punya key lagi sesuai dengan aku (sebab dia perempuan) jadi tambah lagi 2 kelas dalam seminggu tu. Tak termasuk lagi kalau ada meeting ke apa. Masa bulan Ramadan tu lagiii packed sebab banyak program bawah DNT EMSS. Setiap hari, keluar bilik 8 pagi (kalau bulan Ramadan 6 pagi) pastu balik 11 malam biasanya. Memang akan jadi orang yang terakhir la duk kat masjid tu. Tak berlengas ke? Haha jawapan dia, mandi kat masjid. Setiap hari bawak keperluan asas simpan dalam motor. Masjid ni memang dah jadi rumah ketiga aku. Dan aku tak buat ni sorang, bahaya jugak perempuan sorang malam-malam, ada geng pastinya.

Dan aku tak menyesal sikit pun atas keputusan aku buat tu. Sebab seronok sangattt alhamdulillah. Aku belajar banyak benda sepanjang perjalanan aku ke kebangsaan ni. Tapi mestilah ada masa-masa down jugak. Menangis tu tak cakap la, memang selalu sangat. Penat, takut, tak percaya diri, rasa tak boleh buat, semua tu ada. Tapi alhamdulillah lepas dah selesai, semua tu dirindui. Segala susah payah tu, jadi satu kenangan yang sangattt manis. Aku sangat-sangat bersyukur direzekikan untuk melalui semua ni alhamdulillah.

Ok selesai bahagian perjalanan, jumpa dekat bahagian pengalaman!

8 Julai 2023,
5.40 pm,
Masjid SHAS IIUM Gombak.

Comments

Popular posts from this blog

Ramadan 1445h (2)

Rebound .

Tumbuh bersama JC 🌱