MTHQK2023 : Satu Pengalaman (2)
MTHQK ni mula 11 Jun, habis 16 Jun 2023. Tapi kitorang kena datang 8 Jun lagi, sebab ada macam-macam. 8 Jun tu ada pemeriksaan kesihatan, tapi aku dengan Suhailah (kawan aku, dari UIA jugak tapi wakil negeri lain) tak habis lagi kelas, jadi kitorang datang lambat sikit. Sampai Pineng malam tu, kaunter pemeriksaan dah tutup. Esok tu, 9 Jun, takde apa-apa lagi, aktiviti bebas. Tapi masing-masing mengulang la. Malam tu, ada cabutan undi. Aku tak tahu nak rasa apa, doa bagi dapat yang terbaik ja. Dan Allah izin, aku dapat hari Selasa (13 Jun). Bagi aku, elok-elok la, tak terlalu awal sampai aku terkejut dan tak terlalu lambat jadi aku tak berdebar lama.
Esok tu, 10 Jun, ada lawatan. Pihak penganjur (urusetia Pineng) sediakan lawatan untuk peserta-peserta ronda negeri Pulau Pinang. Tak wajib, siapa nak pergi boleh pergi. Kebanyakan orang tak pergi sebab nak bersedia untuk musabaqah, tapi aku rasa macam rugi kalau tak join, jadi aku join ja. Lagipun masa tu tak rasa berdebar lagi, tak rasa macam pergi pertandingan haha, rasa macam pergi kem “Healing With Quran” gitu.
Waktu pergi lawatan tu, sangatttlah teruja. Bukan teruja sebab tempat-tempat lawatan tu, tapi teruja dengan layanan yang kitorang dapat. Naik bas dalam 4-5 bas, dan semua bas kitorang tu di’escort’ dengan polis dan JPJ. Memang semua kena bagi laluan untuk bas kitorang lalu. Aku sebagai rakyat marhaen, awal-awal tu sangat teruja sebab tak pernah tengok dan tak pernah rasa di’escort’. Masa ni boleh bayangla macam mana rasa Na Heedo dalam drama 2521 kena escort pergi arena fencing. Rasa… Terharu? Bangga? Entahla, tak reti nak describe.
Pastu dekat tempat-tempat lawatan pun kitorang dapat layanan istimewa. Boleh lalu fast lane. Ya allah, kalau tak dapat fast lane tu, seksa yang amat. Panjang gilaaaa line beratur tu, aku rasa dalam sejam dua jugak tu beratur. Mula-mula, seronokla dapat layanan macam tu. Tapi lama-lama, rasa serba salah. Orang duk tengok kita pelik, kenapa kita dapat dulu sedangkan diorang datang dulu? Kita dahla tak ada apa-apa contribution pun dekat masyarakat. Setakat pertandingan, mostly untuk diri kita, masyarakat tak dapat apa pun. Dan kalau aku di tempat diorang pun aku akan persoalkan benda tu jugak. Sama macam kalau orang escort menteri, aku akan pertikaikan ke’relevan’an dia. Kalau escort setakat ke arena (tempat bertanding) tu, boleh diterima la, mungkin sebab tak nak bagi lambat ke apa. Tapi escort pergi mana-mana ni, aku jadi serba salah. Entahla.
Ok, moving on. Malam tu pergi arena, untuk raptai majlis perasmian. Masa tu pertama kali aku pergi arena tu, dan pertama kali aku tengok pentas tu macam mana. Ya Allah, besar sangaaaaaaattttttt. Tengok pentas tu dah mula rasa mual, sejuk tangan kaki, lemah lutuit apa semua. Pastu macam mana tah, tiba-tiba ja ternangis sebab takut sangat-sangat. Dari awal majlis, sampai nak habis majlis memang duk sapu air mata ja, nasib dewan tu gelap, lampu tertumpu kat pentas ja. Sambil tu mesej ibu, kawan-kawan apa semua, minta kata-kata semangat. Aku tak dapat bayangkan aku berada atas pentas tu, apatah lagi kena tebuk dekat pentas tu dan baca secara tarannum depan tu. Aku mula menyesali kerja gila aku ni haha.
Tapi alhamdulillah, orang-orang sekeliling aku ni yang memang masak benar dengan kelemahan aku ni, sangat-sangatlah membantu. Bagi kata-kata semangat, bagi aku positif balik. Satu benda yang kawan aku cakap, ingat balik niat kita. Kita buat untuk Allah kan? Tu la kut, turning point untuk aku. Sebab bila aku muhasabah balik, kalau betullah aku mulakan perjalanan musabaqah ni sebab Allah, sebab nak dekat dengan Quran, sebab nak ambil pengalaman, sebab nak improve diri, maka aku tak patut takut. Kerja aku dah selesai. Kerja aku bahagian usaha, dah selesai. Atas pentas tu dah dikira hasil. Apa sahaja yang akan berlaku atas pentas tu, tak sepenting perjalanan yang telah aku lalui. Episod-episod perjalanan yang berlaku berpuluh hari sebelum hari pertandingan tu jauh lebih penting, jauh lagi bermakna. Dan episod tu dah berlalu.
Kalau aku niat masuk musabaqah ni nak menang, atau nak impress orang lain, ataupun paling kurang untuk tak malukan diri sendiri, logiklah aku akan takut gila-gila. Takut dengan kegagalan, takut dengan pandangan orang, takut dengan 1001 perkara lagi. Jadi aku pujuk diri aku, dan cuba untuk positif balik. Alhamdulillah, malam tu ok sikit. Masih rasa takut, tapi ok sikit la.
Hari-hari seterusnya, aku dah tak lalu makan. Pastu dah mula sakit kepala dan segala sakit-sakit yang lain. Tengok pulak kawan-kawan aku yang dah selesai, masing-masing turun pentas dengan linangan air mata, kata tu performance paling teruk yang diorang pernah buat. Padahal diorang ni masyi sangat-sangat, aku sendiri selalu tolong tebukkan diorang, dan jaranggg sangat ada salah. Tapi Allah izin, atas pentas tak berapa lancar. Sambil duk pujuk diorang, aku sedikit sebanyak mempersiapkan diri kalau aku jadi macam tu jugak, macam mana nak tenangkan diri nanti.
Fast forward, hari yang didebarkan tiba jua. Ouh jap sebelum tu lupa nak cerita, malam sebelum aku kena baca tu aku m*ntah. Pagi sebelum nak pergi arena pun aku m*ntah lagi, padahal tak makan apa sebab tak lalu. Pastu masa orang sebelum aku dah naik pentas pun aku m*ntah lagi. Punya nak kata aku takuttt sangat-sangat dengan pentas tu. Aku tengok balik video rakaman aku kat pentas tu memang nampakla muka aku pucat, bibir aku macam takde warna bibir dah. Tapi takut macam mana pun, aku cuba positif kan diri balik. Apa-apa yang berlaku atas pentas tu, aku dah redha. Ni memang redha awal haha.
Dan bila aku atas pentas tu, aku tak rasa apa dah alhamdulillah. Orang yang dengar bacaan aku kata suara aku ketar, tapi kalau tanya diri aku masa tu, aku tak nervous. Serious. Aku fokus nak jawab dan habiskan soalan ja. Tapi tula, bila atas pentas tu, lain sungguh dengan kita duk baca selalu. Aku terbaca laju, key yang memang dah lari makin lari, ayat yang dah kena tebuk semalam tu pun boleh tersalah lagi haha. Tapi takpa, ala kulli hal, alhamdulillah, aku berpuas hati walaupun teruk. Bagi aku, dapat baca atas pentas tu, dapat sambung ayat yang ditanya, dapat jawab penuh 10 baris dalam dua minit (ni syarat MTHQK baru tahun ni) dan tak dipotong di tengah jalan, dan dapat baca secara lambat dan cukup 4 minit (tak boleh kata tarannum sebab tak menepati ciri-ciri tarannum haha), tu ialah kejayaan yang sangat besar bagi aku. Aku content dengan aku di masa itu. Tu yang boleh turun pentas sambil senyum tu shsjhs.
Turun-turun pentas, bukak fon, penuhhh mesej orang ucap tahniah, bagi kata-kata semangat, express kata terharu dengan pencapaian aku apa semua. Terus aku sebak :’)) Sebak sebab aku tahu perjalanan aku ni, bukan perjalanan aku sorang, tapi melibatkan ramaii orang. Takde diorang ni, aku tak boleh berada di mana aku berada sekarang. Dan aku cepat terkesan sikit dengan kata-kata orang ni, lagi-lagi kalau orang yang betul kenal kita, diorang punya kata-kata tu tepat. Diorang semua ni tahu kelemahan-kelemahan aku, tapi, tetap mempercayai diri aku terutama waktu aku sendiri tak percaya kan diri aku. Pastu disebabkan diorang tahu struggle aku, insecurities aku, diorang jadi terharu tengok aku berjaya jugak beranikan diri baca atas pentas. Adala jugak 3-4 orang kata diorang nangis tengok aku baca atas pentas sebab terharu ahaha, punyala nak kata aku berada atas pentas ni ialah satu keajaiban. Comel ja semua orang.
Aku sangat-sangat bersyukur atas nikmat sahabat-sahabat yang baik, yang sentiasa sokong, keep in touch, mendoakan dari jauh. Aku sentiasa mendoakan supaya Allah menjaga mereka di mana pun mereka berada, melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya kepada mereka, sentiasa memudahkan urusan mereka dan membalas setiap satu kebaikan mereka dengan sebaik-baik ganjaran. Tiada ganjaran yang lebih baik dari ganjaran Allah.
Ok tamat kisah aku baca atas pentas. Turun pentas rasa macam sekejap nya? Aku scroll balik galeri fon, scroll twitter aku, baca aku punya perjalanan #roadtopineng tu, tiba-tiba dah rindu lol. Aku bersyukur aku sempat dokumentasikan perjalanan-perjalanan aku, baik dari segi tulisan, gambar, mahupun video. Sebab seiring waktu, memori tu pun akan terpadam. Perasaan kita waktu tu, kadang kita akan terlupa. Sebab tu ni pun aku paksakan diri untuk tulis jugak perasaan aku waktu ni, sebab momen ni priceless. Kalau pun aku ada niat nak cuba masuk lagi tahun-tahun seterusnya, perasaan dan pengalaman tu tak sama, sebab ni pertama kali. Gitula. Dan pengalaman aku sepanjang 10 hari duduk sini, aku belajar banyak benda.
Satu, aku suka tengok ada majlis yang mengagungkan Quran. Mungkin ada orang mempertikaikan yang Quran tak sesuai dipertandingkan, dan mempertikaikan bajet yang digunakan untuk buat majlis ni. Ada betul dia (sebab majlis ni memang habis berjuta aku rasa). Tapi satu perspektif lain, majlis macam ni menunjukkan yang Quran ni bukan sesuatu yang lekeh dan bukanlah satu entiti yang perlu diasingkan daripada kehidupan kita. Kalau boleh buat pertandingan menyanyi, kenapa tak boleh buat pertandingan berkaitan quran? Program-program macam ni lah yang menggalakkan masyarakat untuk lebih dekat dengan Quran, terinspirasi untuk menjadi orang yang dekat dengan Quran. Dan kita tak perlu asingkan Islam, atau Quran, dari hal-hal duniawi. Sesetengah orang bila sebut hafiz hafizah ni diorang ingat zuhud, budak pondok, apa semua. Al-Quran untuk kita semua, bukan untuk orang dalam bidang agama sahaja. Dan orang yang hafal Quran pun boleh masuk dalam bidang professional, malah boleh jadi antara yang perform. Orang-orang sekeliling aku menjadi bukti. Hafiz hafizah yang jadi peserta MTHQK ni datang dari pelbagai bidang; ada yang belajar Quran Sunnah, IT, perubatan, ekonomi, perniagaan, dan macam-macam lagi dan masing-masing buat yang terbaik untuk cemerlang dalam bidang akademik masing-masing.
Aku pertama kali pergi MTHQK ni jadi aku sangat terkejut tengok sambutan dia. Setiap malam, dewan penuh dibanjiri penonton. Siang tak ramai sangat sebab orang kerja, tapi malam, mashallah. Majlis bermula pukul 9 malam, tapi pukul 6 petang dah penuh kerusi. Butterworth Arena tu dahla besar, tapi masih tak cukup kerusi. Tua, muda, kanak-kanak, semua lapisan umur ada. Aku sangat terharu tengok sambutan macam tu. Moga ada manfaat buat semua yang hadir.
Ok yang kedua, aku suka vibes pertandingan kat sini. Kita tak rasa macam kita bersaing dengan orang lain, tapi kita bersaing dengan diri kita ja. Peserta-peserta kebanyakannya kawan kepada satu sama lain walaupun lain negeri, jadi masing-masing tolong-menolong antara satu sama lain. Kalau sorang down ke apa, masing-masing akan tolong comfort kan. Tak de istilah “ouh dia pesaing aku, buat apa aku nak tolong”. Tak. Kalau kawan tu baca, kawan lain akan tolong support, hype kan, takde nak jealous (yang tak baikla, cemburu dan terinspirasi tu mestilah ada).
Dan aku belajar banyaaaakk benda daripada diorang ni semua. Semua hebat sangat masyallah. Solehah, pandai, masyi, suara sedap, humble, menjaga, cantikk haha insecure teruks tapi dalam masa yang sama cuba berusaha jadi macam diorang. Masing-masing ada struggle masing-masing, tapi berusaha jugak sekerasnya untuk menjaga Quran. Dan diorang jaga Quran bukan sebab musabaqah, aku jamin. Sebab habis giliran diorang baca pun, diorang tetap mengulang macam hari-hari biasa. Roommate aku, tetap bangun pagi awal sebelum Subuh, tetap mengulang paling kurang 3 juzu’ setiap hari. Sangat-sangatlah menginspirasikan. Moga aku dapat ikut jejak langkah diorang ni.
Ok sekarang aku ada masalah nak move on dari MTHQK ni huaaaaa. Payahla jadi orang yang sentimental, emosional terlebih apa semua ni. Aku tengok nametag, rasa sayu. Aku pergi masjid, tempat yang aku selalu lepak, rasa sayu jugak. Tengok gambar-gambar perjalanan aku menuju ke MTHQK ni, kelas-kelas dengan JAIPs, kelas dengan Kak Izzah, gambar-gambar kena tebuk dengan kawan, semua tu buat aku rasa sayu sangat-sangat. Tengok gambar kat MTHQK pun macam tu jugak. Baca surat Kak Izzah Mukhali, lagilaaa. Kak Izzah dah semester terakhir, jadi aku mungkin tak jumpa dah lepas ni. Aaaaaaa geramnyaaa, kenapa kena ada perpisahan eh? Dan kenapa perpisahan ni sakit eh? :( Aku ingat aku dah lalui banyak perpisahan ni, lama-lama terbiasa la, tapi tak. Tetap sama. Tetap pedih.
Adakah ni tanda-tanda aku kena masuk lagi tahun-tahun seterusnya? Haha. Tengoklah macam mana. Orang kata masuk musabaqah ni addictive, sebab kita nak buat sampai kita dapat yang terbaik. Sampai kita puas hati. Hmm ya kut. Aku tak tahu lagi macam mana tahun-tahun seterusnya.
Ala kulli hal, aku sangat-sangatttt bersyukur Allah rezekikan aku merasai pengalaman ni. Ni antara event terbesar yang berlaku dalam hidup aku. Moga ada rezeki lagi untuk merasai pengalaman-pengalaman macam ni lagi di masa hadapan ameen.
Dan moga-moga, kita semua istiqamah dalam menjaga Quran, baik dari segi bacaan, hafazan, tadabbur dan berakhlak dengan Quran. Moga kita semua tergolong dalam golongan hamalatul quran.
15 Jun 2023,
1.30 pm,
Lobby Hotel Ixora.
Ditulis pada 15 Jun, dilengkapkan dan diubahsuai pada 21 Jun tapi diterbitkan pada 8 Julai sebab nak kena siapkan bahagian perjalanan dulu, baru pengalaman. Lama eh peram haha.
Comments
Post a Comment