tenang .
Haiiii hehe lama betul eh tinggal blog ni. Azam buat blog ni paling kurang satu entri sebulan shsh halal lah ek. Sebenarnya dari bulan 11 haritu dah ada entri, tapi padam sebab macam terlalu emosional hewhew. Bulan 12 haritu pun ada tulis, tapi archive jugak. Bulan 1 pun sama shsh sebab rasa macam oversharing. Sebenarnya hampir-hampir nak stop blog ni for good dan nak padam semua entri sebab macam terlalu open pasal kehidupan aku, dan macam takde guna pun. Tapi on a random day, ada kawan aku cakap terima kasih sebab menulis, dan berharap untuk aku terus menulis, sebab dia kata dia boleh relate dengan situasi aku tapi tak reti nak terjemahkan dengan kata-kata.
Aku agak terkejut jugaklah, sebab aku serious ingat takde siapa pun baca blog aku, aku letak ja link ni dekat bio ig dengan twitter tapi tak pernah promote pun. Dan kitorang tak follow each other pun (ig dan twitter aku private sebab banyak merapu) so dia boleh tergerak hati untuk baca blog aku tu sangatlah random. So, to that particular friend, tq weh shsh. It's a great reminder for me to keep writing, sebab sentiasa akan ada orang yang boleh relate dan dapat kebaikan walaupun kecil, dan kalau bukan sekarang, mungkin pada masa akan datang. Dan kalau bukan orang lain, paling kurang, kebaikan untuk aku sendiri di masa hadapan.
So... How's life?
Ahaha, aku mampu tergelak ja teringat kehidupan aku kebelakangan ni. Particularly semester ni, kehidupan aku sangatlah tidak baik. Aku gagal mencapai apa yang aku impikan, aku gagal menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab aku dengan baik, aku buat banyakkkk kesalahan, dann macam-macam lagi. Awal semester aku dah dapat tanggungjawab baru, sedangkan tanggungjawab yang lama pun aku tak laksanakan dengan baik. Komitmen-komitmen baru, tambah pulak dengan subjek tahun akhir yang semakin mencabar, sedikit sebanyak memberatkan kepala. Dahlah semester ni banyak kali sakit.
Tambah pulak aku fikir apa aku nak buat lepas ni (habis degree)? Kalau dulu soalan seputar apa kita nak jadi, apa cita-cita kita? Masa tu kita boleh berimaginasi apa sahaja, impikan apa sahaja sebab jarak kita dengan realiti masa tu jauh. "Takpe, along the journey nanti kita figure out". Sekarang, takde dah soalan tu, journey pun makin nak habis, kita pun dah makin berpijak di dunia yang nyata. Apa kita nak buat lepas ni? Macam mana kita nak buat? Ada masa aku rasa aku ketinggalan. Kawan ni, dah sambung master. Kawan ni, dah dapat kerja sekian-sekian. Kawan ni, dah jelas masa depan nak buat apa lepas ni. Kita? Kita nak buat apa lepas ni Balqisss?
Aku punya fikir pasal future tu teruk gakla, sampai satu point aku mual, loya. Mual dan loya ni bukan satu benda abnormal bagi aku, aku selalu hadap bila aku nervous. Macam sebelum presentation ke, sebelum pertandingan apa-apa, atau apa-apa event yang membuatkan aku takut, dia macam nervous system aku punya mechanism untuk react terhadap apa yang aku bakal hadapi. Normal untuk aku, biasanya akan habis bila selesai satu event tu. Tapi ni loya sebab fikir pasal future which is takde kesudahan? Ini suatu di luar nalar shhs dan aku tahu this is something not right. Tapi dalam masa yang sama aku pun tak tahu macam mana nak baiki. Kalau Balqis 2023 jumpa Balqis 2024 ni, confirm Balqis 2023 akan marah dan kata over betul. Tapi Balqis 2024 akan kata balik, kau belum rasa, kau belum lalui pressure dia macam mana.
Dan sebenarnya... aku tak rasa aku fikir pasal future ja, dia macam ada krisis tau. Krisis apa pun aku tak tahu, quarterlife crisis ke, identity crisis ke shsh entahlah. Dia macam sekarang ni fasa aku mencari diri aku semula, redefine or reshape myself gitu. “Apa aku nak sebenarnya dalam kehidupan?”, antara soalan yang selalu bermain di fikiran aku lately. Aku nak terang pun susah, yang pasti aku tak suka diri aku waktu tu. Aku terlalu overthink.
So, separuh semester aku aku habiskan dengan overthink dan separuh semester lagi aku habiskan masa juggling dengan tugasan-tugasan harian aku. Satu lagi, sem ni aku paksa diri aku untuk khatam quran, which is sangatlah menuntut kepada pengorbanan. Sem ni, aku ikhtibar 20 juzu', dan sem ni jugak aku habiskan berbaki 10 juzu', yang mana 5 juzu' terakhir tu aku habiskan dalam masa 2 minggu ja sebab nak kena habiskan sebelum final exam. Bayanglah, sehari aku hantar dalam 6-7 mukasurat, which is lebih dari zaman aku buat fast track pensijilan dekat DQ dulu. Zaman DQ yang tak belajar apa sangat selain Quran pun dah terasa berat, apatah lagi zaman degree, terutamanya tahun akhir ni. Sangatlah... mencabar.
Jadi, aku rasa, kehidupan aku sangat fast paced kali ni, dia jadi macam aku on button autopilot. Setiap hari buat benda yang sama, makan menu yang sama (sebab nak jimat masa). Pagi sampai petang kelas, malam sambung kelas itqan, habis itqan sambung meeting atau discussion atau buat assignment. Lama-lama, aku perasan aku makin hilang spark— Aku cepat stress, kurang senyum, dan aku hidup, sekadar untuk tidak mati. Dan aku tahu semua benda tu salah. Aku tak patut berlamaan dalam kondisi ni, aku kena cari spark aku balik, aku kena keluar dari belenggu ni.
Tapi tulah, semua benda perlukan proses. Benda macam ni bukan boleh settle dengan baca satu-dua buku, sembang dengan satu-dua orang, dia takde jawapan yang direct yang boleh settle semuanya sekaligus.
Dalam proses aku mencari jalan untuk keluar, aku 'terjumpa' satu ayat Quran ni. Ayat ni famous sangat, selalu diulang, tapi time aku terjumpa tu, aku rasa macam aku first time jumpa ayat ni, first time baca ayat ni. Ayat ni dari Surah Syura:
ٱللَّهُ لَطِیفُۢ بِعِبَادِهِۦ یَرۡزُقُ مَن یَشَاۤءُۖ وَهُوَ ٱلۡقَوِیُّ ٱلۡعَزِیزُ﴿ ١٩ ﴾
Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
Ok jadi aku bahagikan kepada 3 bahagian.
Bahagian pertama, Allahu latifun biibadih (Allah Maha Lembut terhadap hamba-hambaNya).
Allah perkenalkan diri Dia sebagai Yang Maha Lembut, kepada hamba-hambaNya. Kalau Allah, Yang Maha Segalanya, Yang Maha Berkuasa, Tuhan kita, boleh lembut dengan kita, kenapa kita tak boleh bersikap lembut terhadap diri kita sendiri?
Aku, bab menerima kelemahan diri aku ni memang lemah sikit. Aku boleh tolerate kesalahan orang, tapi bukan kesalahan aku. Dan bila aku gagal mencapai expectation aku, aku akan salahkan diri aku. Jadi bila baca ayat ni, aku memang broke out into tears la. Rasa macam kena tampar, dalam masa yang sama kena pujuk. Allah tak tuntut pun untuk kita buat sekian-sekian, Allah tak marah pun kalau kita tak capai certain performance, sebab apa yang Allah tengok tu ialah usaha, bukan natijah. Jadi kenapa aku too harsh on myself?
Ha, cerita pasal ni, haritu time kelas History of Islamic Economics Thought, lecturer aku, Dr Aslam Akbar cerita pasal Imam Ghazali punya view terhadap economics activities. Dan satu point yang membuatkan aku tertarik, bila Dr cerita pasal manusia ni sifat dia tamak. Dan disebabkan sifat tamak ni sendiri, dia telah merosakkan diri dia dengan stress, depression, anxiety bila dia tak dapat satu perkara tu. Bila dia terlalu mengejar sesuatu, dan bila dia tak dapat sesuatu tu, dia stress.
Habis kelas tu aku terus jumpa Dr tanya, macam mana kita nak bezakan antara tamak dengan berusaha sebaiknya? Apa batas antara dua perkara tu? Sebab kadang kita takut kita tamak, tapi dalam masa yang sama kita takut jugak kita tak menggunakan potensi kita secara maksimum, jadi underproductive. Dr jawab ringkas ja, nak check kita ni tamak ke tak, ialah bila kita buat sesuatu untuk buktikan sesuatu kepada orang lain. Sebab kalau betul kita buat perkara tu untuk Allah, apa sahaja natijah yang kita dapat, kita akan terima.
That rings a bell.
Aku muhasabah balik, entah-entah selama ni yang aku buat bukan kerana Allah? Aku selalu rasa aku gagal, terutamanya dalam capai expectation aku, dan dalam melaksanakan tanggungjawab. Dan setiap kali aku buat kesalahan, kesalahan tu sentiasa menghantui aku. Dia macam ada satu suara yang kata aku ni the worst la, macam tu. Sedangkan... Bila fikir balik, kegagalan tu bukanlah kegagalan secara total, aku gagal, dalam masa yang sama aku belajar. Kesalahan-kesalahan yang aku dah buat, ialah pengajaran untuk aku di masa hadapan. Aku perlukan kesalahan-kesalahan tu untuk belajar, untuk tumbuh.
Untuk apa aku jadi perfect? Manusia ja (terutama aku) yang menuntut diri aku untuk jadi sempurna, sedangkan Allah, Yang Maha Baik, Yang Maha Lembut, Allah tak ukur performance kita melalui natijah, tapi Allah ukur usaha kita. Dan bila aku fikir balik, Rasulullah saw, sebaik-baik manusia pun tak sempat tengok tertegaknya khilafah Islamiyyah sepanjang baginda hidup, tapi tak pula baginda rasa teruk atau salahkan diri sendiri. Sebab jelas, yang dituntut oleh Allah itu ialah usaha, bukan natijah.
Tak capai certain level of target takpe, asal kita dah usaha. Dan buat salah tak apa, asal kita perbaiki. Wallah, aku buat banyaakkk kesalahan, kalau aku senarai kat sini tak cukup 10 entri. Tapi satu perkara yang aku cuba tanam dalam fikiran aku, Allah tu Maha Lembut dengan kita, kenapa kita tak boleh lembut dengan diri kita sendiri? Kenapa kita tak boleh maafkan diri kita sendiri?
Ok next bahagian kedua, yarzuqu mai yasya' (Dia memberi rezeki kepada yang Dia kehendaki).
Yang memegang rezeki tu ialah Allah, takde siapa yang pegang rezeki selain Allah, dan kalau Allah nak bagi tu, senang sangattt.
Logik manusia, "nak dapat certain result, kena study banyak ni", "nak dapat kerja macam ni, paling kurang kena ada CGPA macam ni", "nak survive dengan ekonomi macam ni, kena ada income banyak ni", "nak dapat gaji banyak ni, kena kerja beberapa jam ni". Betul tu betul, tapi ada satu lagi faktor yang lagi penting, which is rezeki tu dari Allah. Allah yang izinkan, baru satu perkara tu boleh terjadi. Rezeki tu Allah yang pegang, Dia boleh bagi kat sesiapa. Siapa ja yang Allah nak bagi, Allah boleh bagi. Takde siapa terkecuali.
Jadi untuk aku yang overthink dengan future aku, aku baca ayat ni macam direct tuju untuk aku. Kenapa nak risau lebih-lebih, Allah kan ada? Kan Allah, Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, Allah Yang Maha Mengatur, yang akan susun masa depan kita? Jadi tenang Balqis, usaha sebaiknya. Selebihnya, serahkan kepada Allah.
Dan haritu pergi tamrin, pun cakap pasal benda ni. Aku ni aku rasa dari dalam rahim ibu aku dah berada dalah rahim tarbiah. Dah keluar, dididik oleh ibu ayah, dengan tarbiah. Masuk sekolah rendah, sekolah menengah, sampailah masuk universiti pun alhamdulillah masih dijaga dalam 'bubble' tarbiah ni. Setiap halaqah, setiap program, akan diingatkan mengenai iman, keyakinan terhadap Allah, tapi setiap kali diingatkan tulah, aku rasa macam benda baru.
Tamrin haritu guna modul tamrin yang sama yang aku dapat masa awal-awal keluar sekolah menengah, 5-6 tahun yang lalu. Cerita pasal ma'ruf akbar, mungkar akbar, cerita pasal meruntuhkan berhala dalam diri, cerita pasal mu'alajah uyub, buang rawasib jahiliyyah etc, memang sebijik apa yang aku dapat dulu. Tapi, aku tak rasa bosan pun dengar. Sebab setiap fasa yang kita lalui, akan sentiasa ada benda baru yang kita kena perbaiki. Kalau dulu, 'berhala' dalam diri aku ialah sekian-sekian, sekarang dia dah jadi benda lain. Intinya sama, kita kena rawat segala karat-karat jahiliyyah tu.
Dan aku rasa, untuk fasa sekarang, berhala dalam diri aku ialah dunia. Aku terlalu engage dengan dunia, terlalu mengejar achievement-achievement duniawi. Sedangkan dunia tu sifatnya makin dikejar, makin menjauh. Masa tamrin ni lah memang aku raas semua paenyampaian tu tepat, direct tuju untuk aku.
Ok dan bahagian terakhir untuk ayat ni, wa huwal qawiyyul aziz (dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa), which is mengukuhkan bahagian kedua tadi.
Ok tamat cerita pasal ayat Quran ni.
Dan aku rasa kan, antara satu faktor aku hilang spark ni sebab aku terlalu ikut arus. Arus kehidupan ni cepat, deras, dan kalau aku tak sedar aku akan hilang apa sebenarnya yang aku cari. Jadi penting untuk aku slow down, kadang duduk muhasabah, tulis, baca, buat sesuatu di luar rutin aku. Dan aku perasan, bila masuk semester ni, ada 3 benda yang aku tinggalkan sebab aku nak cepat. Satu- nikmati makanan. Dua- nikmati alam. Dan tiga- mesej ibu setiap hari. Dan tanpa aku sedar, sebabkan aku tinggalkan tiga benda ni jugaklah aku rasa kurang sesuatu. Agak lawak sebenarnya tapi aku rasa ni betul, tiga-tiga benda ni main peranan dalam kehidupan aku.
Aku sangat hargai makanan, sebab aku suka makan. Tapi semester ni, jadual makan aku memang tak teratur, kadang makan sekali sehari, makan sesuatu yang cepat siap dan cepat dihadam; macam roti, sushi etc. Kadang sambil makan sambil buat kerja, jadi dia macam kita nak nikmati momen kita makan tu. Lepas dah hadap minggu-minggu yang hectic, aku baru pergi makan betul-betul, dan ya allah nak nangis rasa, sedapnyaaaa. Shshs padahal makan makanan biasa ja, makan nasi putih dengan sup daging ja pun. Sama jugak dengan nikmati alam. Aku tak tahu nak terang macam mana, tapi aku sukaaaa sangat tengok alam. Aku suka tengok pokok, lagi-lagi dekat mahallah aku. Dia macam unik tau, setiap pokok tu daun dia bentuk lain, warna dia lain. Macam tenanggg sangat tengok alam. Dan dulu, setiap kali habis kelas semualah termasuk itqan, sebelum balik bilik aku suka duduk kat padang sorang-sorang tengok bintang. Aku rasa tenang. Tapi semester ni memang tak sempatlah nak duduk termenung tengok alam, aku rasa macam membazir masa. Tanpa aku sedar, benda kecik macam tu antara benda berharga yang aku terlepas pandang.
Dan last but not least, mesej ibu setiap hari. Biasanya aku setiap pagi akan hantar morning picture kat ibu, dan setiappp hari akan sembang dengan ibu, cerita sekecil-kecil perkara. "Hari ni kak chik kena puji dengan Dr, harini markah quiz achik teruk, harini achik tasmi' lancar, harini kawan kak chik tolong isi minyak", dan beribu omelan lainnya. Dan ibu, akan cerita jugak kehidupan ibu. Itu rupanya antara yang membuatkan aku 'hidup' selama ni. Sebab kita ada masa untuk proses setiap emosi kita, kita ambil masa validate setiap emosi kita dan tengok balik sehari-hari kita buat apa. Sebab kita manusia, yang penuh dengan emosi, bukan robot yang sekadar jalani rutin yang diprogramkan.
Begitulah.
Dan, dalam fasa aku mencari diri aku ni, aku selak jugak semula tulisan-tulisan aku dulu. Ya Allah aku sangat bersyukur zaman dulu aku rajin lah jugak menulis. Aku baca balik buku Raudhah aku, aku macam ouh ni ke my younger self punya future hope? Ouh macam ni ke Balqis yang dulu? Macam ni ke cara fikir aku dulu? Yang pastinya, aku agak tersimpang la sekarang. Jadi macam baguslah tulisan aku dulu, dia macam ingatkan aku who I used to be, and who I hope to be. Kesimpulan dia, aku kena terus menulis shsh.
All in all, aku harap aku belajar banyak dan tidak mengulangi kesalahan yang sama. Dan harapan aku untuk tahun ni, adalah untuk aku menjadi lebih tenang. Takyah dahlah overthink, penat dah 2024 aku overthink, tahun ni takyah dah, ok? Tahun ni, walaupun agak scary, sebab aku tak boleh nak expect apa akan jadi lepas ni, tapi aku percaya, apa pun takdirnya, semuanya bakal baik-baik sahaja, insyallah. Aku looking forward untuk explore apa yang bakal aku hadapi lepas ni :)
Dan aku harap, aku lebih enjoy life shsh. Tak nak stress-stress sangat dah, aku pun takut dengan diri aku kalau aku stress, seriously 😌 Chill, Bal. Dont be too hard on yourself.
Okay tu sahaja untuk entri kali ni, adios!
Mahallah Safiyyah,
7 Februari 2025,
8.30 malam.
Btw bila aku cerita yang kehidupan aku tak berapa baik semester ni, tak bermakna aku tak suka semua benda yang berlaku semester ni. Ada banyak ja benda-benda best yang terjadi semester ni, dan aku hargai setiap satunya. Kalau time happy tu memang happy sungguh, aku tak fake kan happiness tu, serious. Family aku dan kawan-kawan aku sangat memainkan peranan penting yang membuatkan aku terus enjoy kehidupan. Kiranya external factor takde masalah, masalah dia dekat internal faktor, dan tak lain tak bukan aku sendiri yang kena baiki diri aku.
Comments
Post a Comment