Doa yang membentuk

Antara satu doa yang aku tak pernah tinggal untuk baca setiap kali lepas solat sejak zaman sekolah menengah ialah:

.اللهم اجعلنا من أهل القرءان، ومن حفظة القرءان، ومن عملة القرءان، ومن حملة القرءان
"Ya Allah, jadikanlah kami tergolong dalam golongan ahli quran, orang-orang yang menjaga quran, orang-orang yang beramal dengan al quran dan orang-orang yang membawa al quran (ke dalam kehidupannya)".

Kalau solat jemaah kat sekolah menengah, imam akan baca doa ni setiap kali lepas solat, jadi aku pun terbiasa. Solat sendiri ka, solat kat rumah dengan keluarga ka, memang akan ulang doa ni, walaupun dah keluar sekolah. Baca doa ni dah jadi macam rutin. Dan bila rutin, aku takdela menghayati mana. Mengharap untuk berada dalam golongan-golongan tersebut, tapi kurang usaha untuk merealisasikannya.

Aku jenis follow the flow, jadi aku habiskan ja hafazan kat sekolah menengah dalam keadaan tak faham sangat kenapa aku hafal quran. Hafal ja. Pastu habis sekolah menengah, aku apply scholarship untuk ke luar negara. Tapi Allah izin, semua yang aku apply, kena reject (aku tak minta JPA/MARA sebab ada masalah teknikal. Bila dah selesai, lupa dan pendaftaran dah tutup). Pilihan yang ada masa tu, masuk uni tempatan terus, atau Darul Quran.

Daripada aku masuk universiti terus, baik aku masuk DQ dulu. Lagipun masa tu aku tak tahu lagi kos apa aku nak sambung. Jadi aku fikir, rehat dulu jap setahun, baru sambung belajar.

Maka sekali lagi, aku berada dalam lingkungan orang-orang yang bersama dengan Quran. Dan sekali lagi, aku berada dalam lingkungan tersebut dalam keadaan aku follow the flow, bukan dari keinginan yang membuak-buak. Masa ni terfikir, kenapa Allah izin untuk aku berada di sini? Aku tak berusaha untuk menjadi seperti mereka, aku bukan jenis yang menjaga.

Dan masa tu terfikir jugak, kenapa Allah tak izinkan aku ke luar negara? Tipula kalau tak terkilan. Tengok kawan-kawan pergi luar negara apa semua, adalah sikit rasa ralat tu (sebab tak usaha sungguh-sungguh untuk apply scholarship). Tapi takpela, takdir. Aqdarullah kulluha khair insyaallah.

Fast forward, 2021 masuk UIA, pastu entah macam mana aku boleh terjoin program itqan. Program ni program 3 tahun untuk menghafal quran/mengulang quran. 2 jam sehari kelas, Isnin sampai Jumaat, masa cuti midsem pun jalan, masa short sem pun jalan (aku rasa kalau ni masuk koku UIA ni maunya 4-5 credit hour macam ni). Maka sekali lagi, aku berada dalam kalangan orang yang menjaga quran. Pada awalnya, masuk sebab kawan. Tapi stay sampai sekarang sebab seronok.

Dan masa ni, baru aku nampak. Takdir perjalanan aku ialah sebenarnya jawapan kepada doa-doa aku yang aku ulang setiap kali solat. Aku minta untuk berada dalam kalangan orang yang menjaga quran, maka Allah susun perjalanan hidup aku macam tu. Macam mana aku 'ter'masuk maahad, 'ter'masuk DQ, 'ter'masuk itqan, semua tu ialah jawapan untuk doa aku sendiri. Aku takkan boleh masuk itqan kalau aku tak masuk DQ sebab program itqan ni baru dan bukak untuk intake 211 & 212 ja. Kalau aku tak masuk DQ, aku tak turun tahun. Kalau aku tak turun tahun, aku tak boleh join program itqan.

Amazed sangat macam mana Allah susun perjalanan hidup aku. UIA bukanlah institusi tahfiz, tapi dekat sini aku jumpa semangat dan keseronokan dengan al quran. Tak kata dekat Maahad aku atau DQ aku tak suka quran, tak kata Maahad aku atau DQ kurang pendedahan tentang quran, tidak sama sekali. Diorang dah bagi yang terbaik. Tapi aku rasa faktor umur dan kematangan aku kut. Aku masuk bukan dari keinginan yang membuak. Satu lagi, aku masuk itqan waktu aku dah experience beberapa tahun tanpa quran. Jadi aku sangat hargai bila dapat balik. Hanya yang mengenali peritnya kegelapan akan menghargai terangnya sinar.

Satu perkara lagi aku perasan, aku tak pernah doa aku masyi, aku ingat quran. Aku doa untuk istiqamah dengan quran ja. Dan itulah yang dikabulkan Allah. Minggu lepas ada ikhtibar dengan ustazah, dan aku sedia untuk test tu lama gila. Tapi masa tebuk tu, satu soalan ja boleh jawab, yang lain semua aku tak nampak bayangan muka surat mana. Sedih, frust, tak yah cakapla. Sepanjang haritu mata aku merah tak henti nangis, exam midterm aku teruk pun aku tak nangis seteruk ni. Sedih sangat-sangat sebab aku dah prepare lama, tapi tetap tak lancar.

Tapi bila aku fikir balik, itula yang aku minta. Aku minta untuk istiqamah, bukan masyi. Masyi tu bonus ja. Mungkin kalau aku masyi, aku kurang mengulang dah. Jadi sebab tu, Allah belum izin aku lancar waktu tu, supaya aku banyakkan lagi murajaah.

Makin lama, makin aku faham. Doa kita sebenarnya yang akan membentuk diri kita. Maka dari sekarang kena perhatikan doa kita, kena susun balik. Dan kena hayati doa tu setiap kali dibaca. Doa bukan mantera yang dibaca tanpa jiwa, doa ialah tanda pengharapan seorang hamba kepada Allah, pemilik segalanya. Sebab tu, doa ni digelar senjata orang mu'min. Apa lagi yang kita perlu kalau kita ada Allah di sisi kita? Tiada apa yang mustahil bagi Allah, tinggal kita percaya dan yakin sahaja.

"We have to realize that our du‘a’s for ourselves today will shape who we are tomorrow. Our du‘a’s will shape the kind of person we will become, the relationships we will have, and the lives we will one day lead. What then, will our du‘a’s be? What then, will your du‘a’s be?"
- Fadhilah Wahid, Light Upon Light

Mahallah Nusaibah,
3.45pm, 1 Januari 2023.

Comments

Popular posts from this blog

Ramadan 1445h (2)

Rebound .

Tumbuh bersama JC 🌱