Feminism and insecurities

*Jangan tertipu dengan tajuk tau, tajuk ja nampak gempak. Tak, aku tak bahas apa tu feminism apa semua tu kat sini, bukan bidang aku, dan bukan minat aku untuk sentuh secara falsafah.

Aku dari kecik banyak persoalan pelik-pelik, banyak benda aku nak bahas, banyak benda aku nak bidas kalau orang cakap apa-apa, tapi kebanyakannya aku diamkan sebab macam tak sesuai. Dan salah satu topik yang aku jarang cerita kat orang, pandangan aku tentang hak kesamarataan lelaki dengan perempuan ni.

Aku tak suka budak laki dari kecik. Tak, bukan sebab aku suka perempuan, tak. Aku harap orang tak salah faham. Aku tak suka sebab entahla, banyak sebab. Waktu kecik aku tak suka sebab budak laki nakal (aku sampai doa tak nak adik lelaki). Pastu bila dah besar sikit, aku jealous. Aku rasa diorang lebih bebas, lebih dianggap kuat, lebih dalam pelbagai hal.

Aku selalu cemburu dengan kebebasan yang orang lelaki ada. Nak pergi mana-mana, diorang lebih bebas berbanding perempuan. Perempuan digalakkan ada mahram kalau nak pergi mana-mana. Aku dulu persoalkan benda-benda tu. Kenapa perempuan tak boleh? Kenapa perempuan lebih banyak benda yang kena jaga? Kenapa perempuan tak boleh dilayan sama macam lelaki? Kenapa perempuan banyak kelemahan; dalam hal emosi, kesihatan, dan macam-macam lagi. Kenapa, kenapa dan kenapa?

Kalau ada dua orang yang sama kompeten, tapi sorang laki sorang perempuan, yang akan diangkat menjadi pemimpin tu mesti laki, kan? Yang nampak lebih gah tu mesti lelaki kan? Kenapa?

Kat DQ dulu ada sorang ustaz (lecturer UIA) ajar kitorang bahasa arab, tapi satu hari tu entah macam mana boleh termasuk topik kepimpinan. Ustaz kata, perempuan tak boleh jadi pemimpin yang teratas. Maksudnya kalau setakat menteri tu boleh, tapi perdana menteri tak. Aku masa tu memang berkerut la muka. Macam mana nak setuju, nama aku sendiri diambil inspirasi dari seorang pemimpin perempuan yang hebat. Kisah kepimpinan Ratu Balqis sampai dirakamkan dalam al-quran kut, bukan biasa-biasa. Aku dah memberontak dalam hati nak bidas (bidas dalam hati jela takkan berani cakap kat ustaz), pastu tiba-tiba ustaz panggil nama, “ha Balqis kenapa? tak setuju ke? kamu nak jadi perdana menteri ke?”. Terus senyum kelat, “eh tak ustaz”. Hmm, memang obvious la kut muka tu berkerut sampai ustaz perasan.

Dari segi pakaian lagila tak yah cakap. Aku pernah gaduh kecil dengan ustazah (warden sekolah menengah) sebab waktu tu ada lawatan ke luar negara (Indonesia) tapi peraturan untuk pelajar perempuan kena sentiasa pakai kain, tak dibenarkan pakai seluar atas alasan sebab kitorang pelajar tahfiz jadi kurang sopan kalau pakai seluar. Aku macam tak puas hati sikitla, dahla tshirt tak boleh bebas, kena pakai yang sekolah punya, pastu seluar pun tak boleh? Kalau pelajar lelaki takde pulak wajib pakai kopiah ke apa. *Ni cerita lama, ok? Zaman tak berapa matang haha.

Aku punya pemahaman dulu, perempuan boleh buat semua benda yang laki boleh buat. Semua. Aku tak suka ditolong oleh orang lain, terutamanya lelaki sebab nampak macam aku lemah (kecuali ayahla, ayah bukan ‘orang lain’ dalam hidup aku). Entah kepada siapa aku nak buktikan kekuatan tu, aku sendiri tak faham.

Dan disebabkan pemahaman aku yang perempuan boleh dan perlu buat semua benda yang lelaki boleh buat, aku cepat down kalau aku tak dapat capai atau buat apa yang diorang buat. Kenalan-kenalan aku (lelaki) ramai yang hebat. Setiap kali diorang buat sesuatu yang membanggakan, aku lebih rasa down daripada rasa seronok. Aku tumpang bangga, tumpang seronok jugak, tapi tula, lebih rasa insecure. Tapi kalau kawan-kawan perempuan aku yang dapat sesuatu, aku tak rasa macam tu, aku memang bangga gila, takde rasa insecure ke apa, sebab tu kawan sendiri.

One side, bagus sebab aku jadi competitive. Banyak skill yang aku belajar sebab nak jadi setara dengan diorang. Walaupun tak expert macam diorang, tapi paling kurang ada asas. Video editing, photoshop, dan macam macam lagi. Aku fikir, kalau diorang boleh buat, kenapa aku tak? 
On the other side, tak bagus sebab selalu sangat rasa rendah diri. Tak semua benda aku boleh buat, terutamanya bercakap depan orang. Ni memang aku surrender awal-awal. Aku pernah hantar surat letak jawatan masa sekolah menengah dulu sebab rasa rendah diri sangat dan rasa tak mampu nak memimpin macam mana budak lelaki memimpin. Panjang cerita dia, long story short, surat tu dapat kat ustazah, dan aku kena brainwash balik, tak jadi letak jawatan.

Tapi makin aku mendewasa, pemahaman aku makin berubah. Aku makin sedar yang Allah ciptakan setiap satu individu tu unik, berbeza satu sama lain apatah lagi lelaki dan perempuan. Baik dari segi biologi, mahupun dari sudut psikologi, Allah cipta lelaki dan perempuan ni tak sama. Cara pandang satu isu tu tak sama, cara berfikir pun tak sama, cara nak cope masalah, cara nak kawal emosi, semua tu tak sama. Dan setiap susunan Allah tu sarat dengan hikmah.

Makin lama, persoalan-persoalan aku dari kecik, satu persatu terjawab. Ada ja cara Allah susun untuk menjawab persoalan-persoalan aku. Kenapa perempuan ni lebih sikit bahagian emosi, kenapa perempuan kena jaga diri lebih sikit, kenapa kena berteman nak pergi mana-mana, semuala terjawab termasukla kenapa sekolah wajibkan pakai kain masa lawatan 😆 Jawapan yang Allah bagi bukan dalam bentuk yang direct, kadang dia datang dalam bentuk pengalaman, pemerhatian, pembacaan dan cerita-cerita orang lain.

Baru-baru ni ada kawan mengadu, dia insecure. Dia insecure dengan budak laki batch dia, diorang pandai dari segi akademik, pandai baca kitab, banyak baca buku, banyak idea, pandai memimpin, banyak menulis, dan 1001 benda lagi. Dia rasa dia sangatlah useless. Situasi dia tu sebijik macam apa yang aku hadapi. Habis dia cerita tu, aku pujukla dia. Dan bila aku pujuk dia, aku rasa macam aku tengah pujuk diri sendiri. Meyakinkan diri sendiri bahawa kita tak sama, dan tak perlu untuk sama.

Kita semua ada peranan dan posisi masing-masing. Di posisi kita, kita lakukan yang terbaik. Dalam satu bahtera, semua orang ada peranan masing-masing. Ada yang mengemudi, ada yang jadi petunjuk arah, sediakan makanan, kawal layar, bersihkan kapal, dan macam-macam tugasan lagi. Setiap satunya penting untuk memastikan penumpang sampai ke destinasi dengan selamat, hatta penumpang tu sendiri ada tugas dia. Dan tak semua orang perlu mengemudi. Bayangkan kalau ada dua orang yang tak sekepala nak kawal stereng tu, tak ke bermasalah nanti?

Macam tu jugak dengan kita. Walaupun kita rasa kerja yang kita buat tak setara dengan apa yang orang lain buat, tapi insyallah ada manfaatnya. Ada kawan pernah share, “biar buat kerja macam amal dhoif asalkan membawa kepada amal qowiy, daripada buat kerja macam qowiy tapi sebenarnya amal dhoif”. Kita tak mampu jadi pemikir, tak apa, kita masih boleh bekerja, masih boleh menyumbang dalam hal lain. Setiap amal kita, allah kira, tiada satu pun yang allah akan terlepas pandang, dengan syarat kita ikhlas.

Waktu tu aku dengan dia tengah gunting flyers untuk diedarkan, pastu aku katala “contoh macam kita gunting flyers ni, kalau kita tak buat, tak de orang buat kerja ni. Dan kalau orang tak buat, tak de orang tahu pasal program ni. Penat ja diorang organise program tapi takde orang datang”. Walaupun nampak kecik ja satu amal tu, tapi ada manfaatnya. Kalau kita mampu untuk jadi pemikir, penggerak, silakan. tapi kalau tak mampu, tak perlu rasa rendah diri, ada banyak lagi tugas kita boleh buat.

Sedikit sebanyak aku berdamai dengan hakikat yang aku tak perlu sama seperti mereka. Dan mempercayai bahwa perempuan tak sama dengan lelaki tak bermakna aku merasakan perempuan tu lebih lemah berbanding lelaki, tapi percaya bahwa kekuatan kita berbeza. Cita-cita dan impian aku tak berkurang pun, tapi cara pandang aku untuk capai cita-cita tu berubah sikit.

Aku percaya, we all shine differently ✨

19 November 2022,
Bukit Istana.
*Nota kecil: hari ni hari mengundi (PRU-15). Sebagai pengundi kali pertama, nervous ea, macam nak jawab exam 😌

Comments

Popular posts from this blog

Ramadan 1445h (2)

Rebound .

Tumbuh bersama JC 🌱