Saat kematian terasa sangat dekat
Lama betul ea tinggal blog ni, lebih separuh tahun haha. Susah nak istiqamah menulis ni, walaupun tulis merapu-rapu tapi tetap susah nak konsisten. Banyak ja sebenarnya nak ditulis, dalam draf tu ada lima-enam yang diarkib, tapi tak tersambung atas macam-macam faktor. Salah satu dia, sebab rasa cringe shsjsj.
Tapi bila fikir balik, buat apa nak rasa cringe. Kita menulis bukan nak bagi orang lain baca, kita menulis untuk diri kita sendiri ja. Kita yang akan datang, akan sangat menghargai penulisan-penulisan kita yang hari ini. Perasaan dan pemikiran kita akan berubah seiring waktu, tapi penulisan kita- abadi.
Atas asbab itu, aku paksakan diri aku untuk tulis jugak hari ini.
Sepanjang aku tinggal blog ni, banyak sangat benda yang berlaku. Habis ja semester 2 haritu, aku plan nak habiskan cuti semester dengan duduk turki dengan kak ngah, dalam 2 bulan macam tu. Pastu alang-alang kak ngah nak gi umrah dengan kawan-kawan dia, nak ikutla sekali. Alhamdulillah Allah izin aku sempat jalan-jalan kat turki 3 minggu macam tu, pastu pergi umrah 2 minggu lebih. Patutnya habis umrah balik turki, duduk dalam 3 minggu lagi, tapi Allah izin sakit aku makin teruk. Teruk sampai aku bergantung pada ubat tahan sakit ja sentiasa.
Sakit tu dari bulan Julai lagi dah rasa, tapi abaikan ja sebab macam tak teruk. Ambil antibiotik tapi masih tak surut. Dan sebab sayang tiket, sayang plan, teruskan ja pergi turki dalam keadaan macam tu. Sakit memang sakit, tapi boleh tahan lagila tanpa ubat tahan sakit. Tapi masa dekat Saudi tu sakittt sangat-sangat dah. Pakai tudung sakit, nak baring sakit, van bergegar sikit pun terasa gegaran dia kat kepala.
Pastu pergi jumpa doktor kat Jeddah, doktor tu terkejut tengok. Sebab kawasan yang affected tu besar sangat. Dan makin teruk. Doktor suruh buat pembedahan secepatnya. Doktor suruh buat esok tu, buat dekat Saudi. Memang takla. Kita tak kenal doktor tu, dengan kosnya, macam mana nak follow up apa semua, siapa nak jaga, banyak faktor dia. Tapi doktor risau sangat. Sebab benda tu kat kepala, takut dia masuk ke bahagian otak.
Doktor kata, kalau dah masuk ke otak, macam-macam boleh jadi. Waktu doktor cakap tu, mata dah berair dah. Sebab kita tahu, apa akan jadi kalau kuman tu dah masuk otak. Kita boleh lumpuh, sawan, hilang ingatan, dan paling teruk, meninggal dunia :)
Masa doktor cakap tu, tahan diri ja dari menangis. Kita kena kuat. Atau sekurang-kurangnya, kita kena nampak kuat. Balik ja dari hospital, masuk bilik terus nangis.
Kita percaya dan yakin bahawa mati itu pasti, dan Allah boleh ambil kita bila-bila masa ja. Tapi tetap, bila dapat tahu yang kita berkemungkinan akan dipanggil pulang dalam masa yang terdekat, hiba terus hati. Mesej ibu, minta maaf atas segalanya. Minta redha ibu, minta redha ayah, cakap terima kasih apa semua. Sambil mesej tu, tak henti air mata mengalir. Perasaan yang sangat… priceless.
Kita persiapkan diri untuk dijemput olehNya bila-bila masa. Kita redha kalau Allah nak panggil pulang bila-bila. Aku masa tu tak tahu nak doa apa. Nak doa bagi sembuh, tapi kalau dah ajal macam mana? Jadi aku doa supaya diambil dalam keadaan yang terbaik, dikurniakan husnul khatimah. Doa bagi Allah ampunkan semua dosa. Doa supaya Allah ambil aku dalam keadaan suci, tanpa dosa. Doa moga ibu ayah redha dengan pemergian aku. Masa doa pun duk menangis, sebak. Ini ke pengakhiran aku? Cukup ke amalan? Dosa-dosa aku macam mana? Jelas sekali, aku belum bersedia. Tapi nak buat macam mana kalau Allah dah tetapkan? Bersedia atau tidak, mati itu pasti.
Aku doa untuk dijemput di tanah suci, impian setiap orang. Aku berharap dapat disolatkan di salah satu Masjid Haramain kalau aku dijemput olehNya di sana. Waktu ni rasa kematian tu sangatt dekat. Takde detik yang aku rasa Allah tak akan ambil nyawa tu sekarang.
Pastu aku terbaca mesej ibu dekat kak ngah, “peluk kak chik erat-erat, kita tak tahu apa akan jadi”. Lagila laju air mata mengalir. Sebagaimana aku menyediakan mental bahawa aku akan dipanggil, orang-orang sekeliling aku pun macam tu. Aku dan kak ngah masing-masing menangis secara sembunyi. Masing-masing tak nak tunjukkan kerisausan dan kesedihan masing-masing. Ibu takyah cakapla. Kak de cerita setiap masa ibu menangis.
Balik dari hospital, ibu ayah terus suruh kak ngah beli tiket. Alhamdulillah, ada tiket direct dari Jeddah ke Malaysia, tapi esok tu. Kalau ambil hari yang sama, tak sempat. Jadi sepanjang hari tu nak tunggu ke hari esok, aku cuba jalani hari-hari aku seperti biasa. Senyum, gelak dengan kawan-kawan, jalan-jalan kat mall, sambil menutup kerisauan dan hiba di hati.
Sampai masa nak bertolak ke airport, kak ngah peluk sambil menangis. Dia kata dia minta maaf tak bawak aku pergi hospital lebih awal, tapi sebenarnya aku sendiri yang tak nak. Masa ni dua-dua burst into tears. Aku pun tak boleh dah sorok air mata aku, sebak sangat-sangat. Pastu salam semua kawan-kawan aku pun dalam keadaan air mata laju turun. Aku tak tahu aku akan diberi kesempatan lagi tak untuk jumpa dengan diorang semua lagi.
Sepanjang dalam flight, setiap masa istighfar, bersedia kalau dipanggilNya bila-bila. Aku tak pernah rasa takut nak naik flight, aku tak gayat, tapi hari tu, aku sangat risau. Makin naik, makin risau. Tapi sebab penat sangat, aku nak tidur. Sebelum tidur, memang ucap kalimah syahadah apa semua dulu la, membayangkan macam mana kalau aku bangun nanti, aku kat alam lain.
Tapi ala kulli hal, alhamdulillah, aku mendarat di Malaysia dengan selamatnya. Sampai KLIA, ibu ayah jemput terus balik ke Kuantan, terus jumpa doktor, warded, dan buat pembedahan. Dan alhamdulillah, hari ni, 30 Oktober 2022, 10 minggu lepas pembedahan, aku masih dapat bernafas, dan diberi kesihatan yang baik. Luka tertutup dengan baiknya, ada sikit-sikit leaking tu biasala. Aku tak cerita kut perjalanan nak sembuh tu macam mana kat sini, sebab sini umum sangat. Dan panjang pulak cerita tu nanti.
Pengalaman ni sangat berharga untuk aku. Perasaan saat kita rasa kematian tu sangat dekat dengan kita, priceless. Setiap detik kita rasa yang Allah akan ambil nyawa kita. Sepatutnya, itula yang kita kena rasa setiap masa, tapi kadang kita terlupa. Akula terutamanya. Jadi pengalaman tu sangat menampar aku.
Tak perlu sakit untuk Allah ambil nyawa kita. Tak perlu tua. Bila-bila masa ja, Allah boleh jemput kita- pulang ke negeri abadi.
Aku dapat survive sakit ni, dikira satu keajaiban. Aku jumpa beberapa orang doktor, doktor-doktor tu semua pelik. Satu, macam mana benda tu boleh jadi. Dua, macam mana aku survive. Sebab besar sangat kawasan yang terkesan. Doktor buat incision dalam 10 cm, pastu doktor kata doktor buang banyak daging kat kepala sebab banyak yang dah hancur, dimakan kuman. Doktor yang bedah aku cakap, “kalau awak tua sikit ja lagi, masuk ICU dah ni.” Ada sorang doktor tu pulak kata, “nasib baik umur awak panjang” shsjsjhsj. Alhamdulillah, moga panjang umur aku tu, sentiasa berada dalam ketaatan. “(Yang paling baik adalah) yang panjang umur dan baik pula amalnya.” (HR Tirmizi)
Kita tak tahu bila dan macam mana kita akan mati. Yang kita tahu, mati itu pasti. Jadi kita kena usaha sebaiknya untuk mati dalam keadaan yang terbaik. Semoga kita semua dikurniakan husnul khatimah :)
Comments
Post a Comment