Cg Azmi pernah kongsi, medan terendah ialah kalam, diikuti dengan medan amal, ikhlas, dan yang paling tinggi ialah istiqamah.
Bagi aku, kata-kata ni sangat dekat dan sangat relatable. Sampai bila-bila pun, kita akan diuji dengan semua ni. Kalau bukan amal, ikhlas. Kalau bukan ikhlas, istiqamah.
Medan kalam ialah medan terendah sebab mudah untuk kita bertutur, memberi nasihat, cadangan atau kritikan. Kalau bukan dalam bentuk tutur kata, penulisan pun dikira sebagai kalam. Macam apa yang aku buat sekarang ni :) Senang ja nak cakap. Tapi kita akan diuji atas setiap apa yang kita cakap, setiap apa yang kita tulis. Untuk tengok sejauh mana kebenaran dalam tutur kata kita. Sejauh mana usaha kita dalam mempraktikkan kalam kita.
Dan ni antara sebab aku berhenti lama dari menulis. Sebab bila kita tulis penulisan-penulisan yang berbaur nasihat (tak lain tak bukan untuk penulis itu sendiri sebenarnya), dua tiga hari lepas tu mestii akan diuji dengan apa yang aku tulis. Mesti. Tak pernah lagi terlepas setakat ni. Jadi aku takut kalau ada masa yang aku tertewas dalam mempraktikkan apa yang diucap. Pilih jalan selamat, tak cakap, tak tulis apa-apa. Tanpa disedari, tindakan tu hanya membawa kerugian kepada diri. Sebab sebenarnya Allah uji untuk tingkatkan darjat kita. Tugas kita sebagai insan yang penuh dengan kelemahan ialah usaha sebaiknya.
Kalau kita dah berjaya mempraktikkan apa yang kita cakap, dah ‘walk the talk’, seterusnya kena tanya diri kita, “ikhlas tak”? Ikhlas ni maksud kata dasar dia suci. Kalau dalam Quran, Allah umpamakan macam susu.
وَإِنَّ لَكُمۡ فِی ٱلۡأَنۡعَـٰمِ لَعِبۡرَةࣰۖ نُّسۡقِیكُم مِّمَّا فِی بُطُونِهِۦ مِنۢ بَیۡنِ فَرۡثࣲ وَدَمࣲ لَّبَنًا خَالِصا سَاۤىِٕغا لِّلشَّـٰرِبِینَ
“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.” (An-Nahl, 66)
Biarpun diapit dengan darah dan najis, tapi susu tersebut tidak berubah dari sifat aslinya, dari segi warna mahupun bau. Macam tu jugak dengan orang yang ikhlas. Dipuji dia begitu, dihina pun tetap sama. Dan ikhlas ni Ustaz Muhtad selalu ulang, ada tiga peringkat. Satu, sebelum kita buat kerja. Kedua, semasa kita buat kerja. Dan yang terakhir dan yang paling mencabar, lepas kita buat kerja. Sebab kita kena jaga ketelusan hati kita dalam buat kerja ni sampai bila-bila, tempoh dia lama kan? Dan kita kena tahan diri kita dari mengungkit-ungkit, tahan diri kita dari sifat riya’ ujub dsb, kena sucikan niat kita; amalan itu hanyasanya kerana Allah.
Ok last stage, last level, ialah istiqamah. Amalan yang berterusan. Fuh. Yang ni memang sangat sangat mencabar. Sebab hati kita sifatnya berbolak-balik. Sekejap kita rasa semangat, sekejap kita down. Memang kena selalu periksa hati kita, muhasabah dan koreksi diri kita. Kena selalu peringatkan diri, Allah bersama kita, perbetulkan niat, kuatkan semangat. Redha Allah itu lebih berharga dari apa sahaja yang kita nikmati sekarang. Biar sekecil mana pun amalan kita, moga kita dapat mengikhlaskan hati kita, dan moga kita dapat istiqamah dalam melakukan amalan tersebut :) Sebab amalan yang berterusan itu lebih Allah sukai, biarpun sedikit.
Akhir kalam, jangan lupa doa, minta Allah bantu kita dalam perjalanan untuk menjadi insan yang lebih baik, hari demi hari. Sebab kita pun tahu, kita lemah tanpa pertolongan, tanpa kasih sayang Allah.
.اللهم ارزقنا الإستقامة، والإخلاص، وحبب إلينا العبادة. يا مقلب القلوب، ثبت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
Comments
Post a Comment