Perjalananku : prolog
"Ibu, acik tak larat dah nak makan ubat. Dari sekolah rendah kena makan, dua bulan sekali mesti makan antibiotik, pastu kena cucuk bagai, acik dah muak dah nak makan ubat, acik tak suka!", bentakku perlahan.
Seandainya aku mengetahui betapa perkataan itu memberi impak kepada ibu, nescaya aku tidak menuturkannya. Niatku cuma ingin mengadu, tidakku tahu ia meresahkan perasaan sang ibu.
Ibu mengambil kedua tanganku, lalu menciumnya. Laju air mata ibu mengalir. "Ibu minta maaf kalau ibu paksa acik, ibu nak acik sembuh ja."
Aku tergamam. Rasionalku yang hilang sebentar tadi, kembali. Gamaknya seorang anak membiarkan sang ibu menangis kerana dirinya. Tidakkah dia mengetahui bahawa ibunya itu menanggung beban yang lebih berat? Mana mungkin seorang ibu mahukan anaknya sakit, malah sentiasa runsing memikirkan, mencari solusi terbaik buat masalah anaknya itu.
Aku menyeka air mata ibu, dan terus merangkul lehernya. Membenamkan mukaku di bahunya. "Acik minta maaf ibu, acik minta maaf kalau acik tak taat pada ibu, acik minta maaf kalau acik terguriskan hati ibu". Maka malam itu, hujan turun dengan lebatnya, membasahi hati-hati kami.
...........................................................................................................................................................................
Selamat datang ke ceriteraku. Cerita seorang insan biasa, sekadar berkongsi pengalaman, meluah perasaan. Andai Allah izinkan aku untuk bernafas dan meneruskan perjalanan di sini, moga entri-entri ini menjadi penguat buatku di masa hadapan. Dan andai takdirku ditetapkan untuk pergi lebih awal, moga entri-entri ini ada manfaat buat sesiapa sahaja yang membacanya.
Sekiranya kalian mengenaliku di dunia realiti, aku tidak sarankan kalian meneruskan pembacaan ini. Ia boleh mengubah persepsi kalian terhadapku, mungkin kepada lebih buruk? Entahla. Buat sebahagian orang, apa yang bakal aku kongsikan dikira sebagai aib, tapi bagi aku, itulah aku. Aku menerima baik burukku, supaya menjadi peringatan kepadaku untuk sentiasa perbaiki diri aku.
Comments
Post a Comment