SIFAT RIJAL #3
SIFAT RIJAL KETIGA :
Benar dalam berjanji dan jujur
Firman Allah dalam surah Al-Ahzab, ayat 23 :
مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
Berlawanan dengan sifat orang munafiq, seorang rijal ialah seorang yang benar dalam berjanji dan seorang yang jujur. Dia akan berusaha sebaiknya untuk mengotakan janjinya terhadap sesiapapun, Allah, rasul dan manusia-manusia di sekelilingnya. Tutur katanya juga jujur seperti hatinya. Sesungguhnya lidah ialah cedokan hati, tulus hatinya maka benarlah lisannya dan sebaliknya.
Kata-katanya selari dengan tindakannya. Dia bukan sahaja bijak bermadah, menabur janji, namun cuba untuk merealisasikan apa yang diperkatakan. Seperti kisah Nabi Ismail yang dirakamkan di dalam alquran :
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡيَ قَالَ يَٰبُنَيَّ إِنِّيٓ أَرَىٰ فِي ٱلۡمَنَامِ أَنِّيٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ يَٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُۖ سَتَجِدُنِيٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰبِرِينَ
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
37:102
As-Saaffat, Ayat 102.
Nabi Ismail telah mengotakan janjinya untuk bersabar dan benarlah, tatkala pisau sembelihan itu menyentuh lehernya, tiada sedikit pun perasaan gementar. Nabi Ismail membenarkan kata-katanya dengan tindakan kerana beliau mempercayai bahawa Allah tidak akan sesekali memungkiri janjiNya.
Comments
Post a Comment