Kesimpulan
“Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya.
Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.
Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.
Itulah sebabnya maka angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.”
Allah berfirman;
"Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka."(Kahfi:13)
Dan perlu diingati bahawa seorang rijal tidak lahir dari suasana yang tenang. Seorang rijal lahir dari suasana kepayahan dan kesusahan sehingga jiwanya bangkit untuk sentiasa berjuang. Dia telah melalui keadaan dan suasana yang tertekan, dihempas dengan fitnah tapi tetap bersabar dan teguh di jalan ini. Kerana suasana yang luar biasa itulah yang akan melahirkan insan yang luar biasa.
Cita-cita untuk menjadi seorang rijal perlulah disemat dalam diri kita semua. Tiada istilah terlalu muda atau sudah terlambat untuk menjadi seorang rijal. Dengan kuasaNya, kita mampu menjadi rijal di zaman ini dan mampu mengembalikan kecemerlangan Islam semula. Tiada daya dan kuasa melainkan dengan Allah. Sekiranya melihat kepada kemampuan kita, pastinya kita tidak mampu untuk melakukannya, namun dengan kuasaNya, tiada yang mustahil.
Islam akan tetap menang bersama kita di dalamnya, mahupun tanpa kita. Yang ruginya ialah kita sekiranya kita tidak berebut peluang untuk menjadi salah seorang daripada tentera-tentera Islam. Sentiasa berdoa agar kita tergolong dalam golongan tersebut agar kita tidak menjadi orang yang rugi di akhirat kelak.
Terima kasih buat kalian kerana sudi membaca artikel ini sehingga sampai ke penghujungnya. Moga kita semua diberi kekuatan untuk istiqamah di jalan ini, sehinggalah tercapai cita-cita kita yang tertinggi iaitu kemenangan Islam, ataupun syahid di jalan ini. Sepanjang perjalanan dalam melengkapkan artikel ini, terasa sesak di dada, mengenangkan jauh sekali diri ini dengan apa yang ditulis. Namun itulah yang diinginkan, kerana daripada perasaan itulah lahirnya tindakan. Dan aku pasti, aku pasti akan diuji dengan apa yang telah ku perkatakan, telah ku tulis. Untuk mengetahui sejauh mana aku praktikkan sendiri dalam kehidupanku. Bersedia mahupun tidak, cepat atau lambat, aku sendiri tidak tahu. Namun satu perkara yang aku percaya,
إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهۡدِينِ
Sesungguhnya bersamaku tuhanku, Dia akan menunjukkan jalan untukku.
Maaf atas segala kekhilafan diri ini, sekiranya ada apa-apa kesalahan yang ingin ditegur atau cadangan penambahbaikkan bolehlah terus komen di bawah atau kirimkam emel seperti yang tertera di profile.
Oh ya, aku bukanlah membuta tuli dalam menulis artikel ini dan aku juga bukanlah orang yang pakar dan layak untuk menulis perkara-perkara sebegini. Aku hanyalah membuat rumusan daripada beberapa sumber bacaan dengan harapan semangat rijal itu dapat disuntik dan dijentik dalam diriku dan kalian. Moga sedikit sebanyak artikel ini ada manfaatnya dan moga Allah redha.
sumber :
http://zadud-duat.blogspot.com/2010/05/ciri-rijal-menurut-islam.html?m=1
http://nahba.blogspot.com/2010/10/siapakah-yang-bergelar-rijal-dalam-al.html?m=1
dan beberapa bahan bacaan yang lain.
Comments
Post a Comment