SIFAT RIJAL #1

SIFAT RIJAL YANG PERTAMA :

Hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa menyucikan hatinya.

Firman Allah dalam surah At Taubah, ayat 108.

لَا تَقُمۡ فِيهِ أَبَدٗاۚ لَّمَسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ يَوۡمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِۚ فِيهِ رِجَالٞ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُطَّهِّرِينَ

Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

Seorang rijal perlu mencari jalan untuk sentiasa mempertingkatkan kekuatan ruh. Sesungguhnya kekuatan seorang mukmin itu terletak pada hatinya, kata Ibnu Qayyim. Maka seseorang yang kuat hatinya, besar jiwanya, kukuh pergantungannya dengan Allah, akan terzahir melalui perkataannya dan perbuatannya. Tutur katanya mampu mengetuk hati nurani seseorang, mampu memberi kesan kepada hati-hati yang mendengarnya.

Masjid merupakan suatu tempat yang paling tepat untuk membina kekuatan dalaman seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah dengan menjadikan masjid sebagai pusat. Di dalamnya terdapat majlis-majlis ilmu dan halaqah zikr. Suasana masjid yang sentiasa tenang dan bersih menyebabkan seseorang itu akan selesa untuk bersendirian dan berinteraksi dengan rabbnya. Tapi perlu diingat, bahawa seorang rijal bukan hidupnya dihabiskan semata-mata beruzlah di masjid, namun hatinya terikat dengan masjid. Jasad dan dirinya masuk dengan masyarakat namun dalamannya dia tidak terpengaruh. Inilah yang disebut sebagai uzlah syuuriyah tammah, ibarat manisnya isi ikan tidak terpengaruh dengan masinnya air laut.

Para rijal juga akan berusaha untuk menjaga hatinya, sentiasa membuat refleksi dan muhasabah diri. Ya, kerana rijal juga manusia, maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Namun apa yang dilakukan oleh para rijal ialah, mereka sentiasa menyucikan hati mereka seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas. Mereka sentiasa melazimi taubat dan istighfar serta sentiasa membasahi lisan mereka dengan zikrullah.

Hadith Rasulullah :
“setiap bani adam ialah pendosa dan sebaik-baik pendosa ialah orang yang bertaubat”. 

Comments

  1. Permulaan yg baik. Teruslah menukilkan sesuatu untuk manfaat semua.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Ramadan 1445h (2)

Rebound .

Tumbuh bersama JC 🌱