Catatan Ibu #1
Jumaat , 22 Januari 2010
Teratak Kasih, Bukit Rangin
“Assalamualaikum. Boleh Achik masuk?”
“Waalaikumussalam. Masuklah”, jawabku.
Anak-anak memang dididik untuk memberi salam sebelum masuk ke bilik tidurku. Itu di antara adab anak terhadap ibubapa sepertimana yang diajar oleh Rasulullah saw..
“Ada apa Chik?” tanyaku.
“Ibu.. sekarang pukul 2:50. Boleh ke solat tahajud sekarang? Achik nak solat tahajud.”
“Boleh”, jawabku perlahan sambil fikiranku mencongak adakah waktu ini sesuai sebab rasanya terlalu awal, tetapi bimbang juga jika dijawab tidak boleh ianya nanti membantut hajatnya untuk solat malam. Balqis, anak keempatku memusingkan badan dan keluar untuk berlalu mengambil wuduk. Aku masih berfikir-fikir apa yang menyebabkanya ingin solat yang mana belum pernah lagi dia bangun solat malam.
“Chik, jap”, panggil ku. Balqis berpatah balik.
“Macam mana Achik boleh terjaga nak bangun solat ni?” tanyaku.
“Tadi masa ibu datang ambil adik.. Achik terjaga.. terus Achik teringat yang muallimah kata solat malam ni seronok. Jadi Achik nak rasalah macam mana seronoknya tu.”
Aku memeluknya kerana terharu, sambil berfikir anak sebesar ini tahu erti mencari keseronokan. Macam-macam yang aku fikirkan. Alhamdulillah muallimahnya bercerita tentang keseronokan yang boleh dicari dengan sujud kepada Allah. Apa akan terjadi jika definisi keseronokan lain yang dipelajarinya terlebih dahulu?
“Lepaslah sayang….” ujar Balqis yang cuba meloloskan dirinya dari pelukanku sambil berseloroh meniru iklan Losyen Baby Johnson. Barulah aku tersedar yang aku sedang memeluknya, sedangkan dia ternanti-nanti untuk pergi berwuduk.
Balqis tidur bersama kakaknya Hajar dan adiknya Syaima’. Aku biasanya akan bangun malam untuk meninjau keadaan mereka tidur. Adakah nyamuk menggangu tidur mereka? Berselimutkah mereka dan juga untuk mematikan suis air-cond. Biasanya air-cond akan dimatikan dalam pukul 2-3 pagi, untuk memberi cukup masa bilik tidur mereka selesa. Syaima’, anak bungsuku kadang aku ambil bawa kebilik kadang tidak. Aku biarkan Syaima’ tidur bersama-sama kakaknya. Tetapi malam itu aku mengambil Syaima’ kerana tadi sebelum tidur aku kurang memberi perhatian kepadanya lantaran ada perkara yang mesti diselesaikan.
Setelah Balqis berlalu aku mengejutkan Abang untuk sama-sama bersolat malam. Sempat juga aku menceritakan kisah Balqis kepadanya. Abang hanya tersenyum. Mungkin ada sesuatu yang difikirkannya.
Kami bertiga solat di ruang tamu. Masing-masing mencari lokasi yang sesuai dengan keselesaan. Selepas solat Tahajud, Balqis bangun sambil membawa telekung dan sejadahnya ke bilik tidurnya, melepasi ruang aku solat. Aku sekali lagi menahannya. Ada sesuatu yang aku musykilkan sebab Balqis kadang-kadang solat fardu pun boleh tertinggal terutamanya Isyak.
“Achik, Ibu rasa mesti ada sesuatu yang menyebabkan Achik sungguh-sungguh nak solat ni, sanggup bangun malam”.
“Sebenarnya ibu…” dengan matanya yang bergenang airmata "..ada seorang budak baru… hafazan dia bagus.. acik tak nak dia potong acik hafazan quran”.. airmatanya menitik tidak dapat di tahan.
“Owh…. Rupanya Achik ada hajatlah ya… kalau macamtu Achik buatlah Solat Hajat. Supaya Allah terangkan hati Achik untuk buat hafazan dengan lebih baik. Baguslah kalau Achik rasa macam tu.. kita usaha untuk dapat yang lagi baik.. bukan untuk lawan dia ya.. tapi untuk tingkatkan diri kita dan Allah terus menyayangi kita”.
Balqis mengangguk-angguk tanda faham akan nasihat ku.
“Achik tau ke solat hajat.?“ Tanyaku.
“Solat tu sama cam solat subuh kan Ibu, cuma tak ada doa qunutkan?” Tanyanya minta kepastian.
“Ya.. pandai anak Ibu” balasku.
Balqis kembali ke tempatnya untuk menunaikan Solat Hajat. Lepas tu aku nampak dia tertidur di atas sejadahnya. Hatiku terhibur melihat telatahnya. Sejadahnya kali ini cukup besar, apa tidaknya diambil selimutnya untuk dijadikan sejadah. Selimut itu pula adalah kain ihram Abang yang ditukar fungsi kerana Abang mempunyai kain ihram yang lebih baik yang dibeli di Mekah semasa musim haji beberapa tahun yang lepas. Balqis lena tidur diatas kain ihram yang dibentang lebar ditengah rumah. Nampak macam letih sangat.
*****************************
“Abang dah siap ke slide presentation malam tadi?” tanya ku pada suami bila melihat abang bangun untuk menyangkut sejadah.
“Belum.. ingat nak sambunglah ni sikit ni lagi” jawab Abang.
Mendengarkan perbualan kami, Balqis bingkas bangun sambil membetulkan telekungnya.
“Achik nak solat apa tu?”
“Nak solat Witir bu…”
“Witir? Berapa rakaat? “ dugaku.
“Muallimah kata bilangan ganjil.. Achik nak solat satu jelah…" terus diangkat takbir.
Aku hanya boleh mengeleng kepala melihat lagaknya. Memang Balqis anak keempatku ini sedang meningkat dan membentuk jatidiri. Ya Allah berilah dia kekuatan untuk terus beristiqamah diatas jalan yang penuh nikmat ini. Malam ini aku beroleh satu motivasi yang sangat besar dalam hidup, dari anak sendiri.
Jika anak sekecil itu tahu untuk sujud mencari kasih sayang Rabnya apalah lagi aku yang hampir separuh abad ni. Sedarlah wahai diri.. engkau tidak akan kemana-mana tanpa kasih sayang dan rahmat dari Allah.
Aku merasakan sangat bertuah dikurniakan Allah anak-anak yang patuh. Moga anak-anak ku membesar sebagai mukminah solehah. Ibu doakan Achik mendapat kejayaan dan kebahagiaan yang sebenarnya.
Mereka yang berjaya dan bahagia ialah mereka yang sentiasa waspada dan menerima cahaya hidayah serta memahami hakikat kehidupan dan mengetahui jalannya, terus bertapak dan melangkah menuju matlamat yang sebenarnya
As Syahid Hassan Al-Banna
Comments
Post a Comment