2022 Recap : Mengutip cebisan diri
Macam biasa, setiap kali hujung tahun aku akan reflect, recap apa yang aku buat sepanjang tahun tu. Apa yang aku belajar, apa yang aku sangat syukuri, apa yang aku kena perbaiki, semuala. Biasanya aku tulis dalam buku aku, tapi sajala tahun ni aku tulis kat blog hehe.
Aku tahu, tahun baru sebenarnya tak memberi erti apa-apa pun, kita yang menjadikannya bererti dengan meletakkan nilai pada hari-hari tersebut. Tahun baru, hanyalah hari-hari biasa yang bertambah, tiada perubahan mendadak yang akan berlaku. Tapi still, aku suka untuk nilai aku punya progress perjalanan hidup berdasarkan tempoh setahun. Hujung tahun ni ibarat RnR bagi aku, sebelum aku gerak ke tahun-tahun seterusnya.
Tahun ni, boleh kata tahun favourite aku haha (tapi masih tak boleh lawan 2018, ni tahun keemasan). Aku suka tahun ni sebab aku mula menjumpai diri aku semula. Secebis demi secebis, biarpun belum sempurna, tapi setidaknya aku beransur sembuh alhamdulillah. Dua tahun lepas ialah tahun-tahun yang sangat menyakitkan dan menyesakkan. Baik dari segi fizikal, mental, emosi, spiritual, sosial, aku berada di titik terendah dalam hidup aku. Kalau tanya kenapa, aku sendiri tak boleh jawab, sama macam Dr tak boleh jawab macam mana aku boleh dapat sakit HS tu. Ada risk factor, tapi sebab yang konkrit, takde.
Tahun ni, aku memang fokus untuk penyembuhan diri sendiri. Rasa macam selfish awal tu, tapi ibu selalu pesan kalau kita tak jaga diri sendiri, takde siapa boleh jaga kita. Jadi tahun ni memang aku buat benda-benda yang aku nak, dan mampu ja. Meletakkan batas sempadan, tidak lagi memaksa diri untuk go beyond ordinary. Boleh kata aku hidup bare minimum la. Aku tolak untuk buat kerja-kerja tambahan dan kesukarelawanan ni beberapa kali. Berat untuk tolak sebenarnya tapi kena. Sebab kalau aku tak sembuh, langsung tak boleh bekerja. Jadi berehat sekejap tu lagi baik dari berhenti selamanya.
Aku bagi masa diri aku untuk sembuh selama setahun. Aku tak buat kerja lebih-lebih, tak masuk mana-mana kelab, tak pegang jawatan apa-apa, aku buat kerja yang wajib ja. Dan aku banyak selfcare haha. Dulu aku sebenarnya tak setuju dengan idea selfcare ni untuk diri aku, sebab aku rasa macam manja sangat (ni hanya terpakai untuk diri aku ja). Tapi bila tengok balik, takpa jaa. Diri kita berhak untuk dimaafkan macam mana kita maafkan orang lain. Diri kita berhak untuk disayangi macam mana kita sayang orang lain.
Aku tak pernah mencarut, baik dari segi tulisan, lisan, ataupun lintasan hati. Aku tak pernah berkata kasar kat orang, sepanjang dalam ingatan aku. Tapi dekat diri sendiri, sehari tu tak terkira perkataan kasar aku cakap kat diri sendiri. Jadi aku rasa tak adil, dan perlu diubah. Macam mana aku buat baik kat orang, kat diri sendiri pun kena baik. Jadi aku kurangkan memaksa diri, kurang membenci diri sendiri, kurang membandingkan diri sendiri dengan orang lain dan kurang harsh kat diri sendiri. Aku hidup dengan pace sendiri, tanpa ekspektasi yang berlebih-lebihan terhadap diri sendiri dan aku mula raikan sekecil-kecil achievement yang aku capai walaupun kadang nampak macam cringe.
Dan dalam tempoh setahun ni, aku boleh kata, banyakkk improvement. Aku mula menjumpai cebisan-cebisan diri aku yang dulu, dan discover sisi-sisi aku yang baru :’))
Tahun ni, aku menjumpai semula cebisan diri aku yang ambitious. Kalau dulu, berani untuk bermimpi tu ialah satu kemewahan, satu privilege bagi aku. Impian aku paling tinggi pun waktu tu, boleh teruskan hidup esok hari tanpa rasa sakit, sesederhana itu. Aku hidup tanpa mimpi, tanpa target, tanpa benda-benda yang membuatkan aku excited untuk jalani hari-hari yang mendatang. Hidup macam layang-layang terputus tali, ikut ja arus angin terbang ke mana. Tapi tahun ni, aku jumpa semula impian-impian aku. Dan aku hidup untuk realisasikan impian-impian tu. Biarpun itu bermakna aku kena cabar diri aku, aku kena keluar dari zon selesa aku, aku kena korbankan banyak benda, tapi semua tu sangatlah berbaloi. Aku sangat seronok alhamdulillah.
Tahun ni, aku menjumpai semula cebisan diri aku yang suka belajar, yang sentiasa curious dengan benda baru. Masa ODL dulu, aku masuk kelas tanpa jiwa. Masuk sekadar untuk rekod kehadiran. Dengar lecture pun sekadar untuk lepas boleh jawab exam, quiz, test. Lagi-lagi waktu tu aku banyak sakit, warded apa semua, jadi kadang kelas tu aku bukak, tapi tak dengar mana. Nak exam, baru marathon recorded video, baru marathon baca nota. Interaksi dengan pun pensyarah kurang, habis kelas cepat-cepat bagi salam dan keluar. Belajar, sekadar untuk sehelai kertas ijazah. Tapi tahun ni, aku sangattt seronok belajar alhamdulillah. Sentiasa ada benda baru yang aku belajar. Pastu kadang pergi bilik Dr, sebab tak faham. Kadang tahan Dr lepas dah habis kelas, sebab nak penjelasan lebih lanjut, walaupun benda-benda tu tak ada kaitan dengan silibus pun. Belajar, kerana ingin tahu. Belajar, sebab seronok :)
Tahun ni, aku menjumpai cebisan diri aku yang berani. Berani untuk cabar diri, berani untuk buat keputusan yang berisiko dan berani untuk dipertanggungjawabkan atas keputusan-keputusan tersebut. Berani untuk mengikhlaskan kepergian seseorang, berani untuk berdamai dengan masa lalu, juga berani untuk hidup menghadapi hari-hari yang mendatang.
Banyak lagi benda yang aku kena perbaiki, aku akui, tapi untuk sampai ke tahap ini pun bagi aku satu pencapaian yang sangat membanggakan. Bila kita dah pernah berada di titik terendah, kita akan mula menghargai sekecil-kecil perkara dalam hidup kita. Betul la kata orang, hanya dengan sakit, kita kenal erti sembuh. Hanya dengan patah, kita menghargai erti tumbuh.
Proses nak sembuh tu panjang, ambil masa yang lama. Aku tak kata aku dah completely sembuh. Dari segi kesihatan fizikal pun aku masih kena ambil antibiotik untuk sebulan dua lagi, inikan pula dari segi emosi, spiritual, mental dan sebagainya, lagila kena ambil masa yang lama. Tapi takpe ja, ambil ja masa selama mana pun untuk sembuh. Takde apa yang kita perlu kejar, tiada due date pun. Yang penting, kita sembuh. Dan kita sentiasa ada harapan untuk sentiasa ke depan.
Cakap pasal harapan ni, aku dulu sangat-sangatlah terasa diuji dengan pengharapan kat Allah. Aku rasa aku totally lost (spiritually). Sesat, jauh tersimpang dari Allah. Sampai satu tahap rasa macam Allah tinggalkan aku (nauzubillahi min zalik). Tapi selalu teringat ayat ni balik,
۞ قُلۡ یَـٰعِبَادِیَ ٱلَّذِینَ أَسۡرَفُوا۟ عَلَىٰۤ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُوا۟ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ یَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِیعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِیمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Az-Zumar, 53)
Teruk macam mana pun kita, Allah melarang kita untuk berputus asa. Sentiasa ada harapan buat kita yang mencari.
Aku doa moga semua yang sedang patah jumpa cara dan jalan untuk sembuh dan terus tumbuh. Apapun penyebab patah tu, tak penting. Our pain is valid, no matter how small it seems. Dan kalau tak mampu berseorangan, jangan kekok untuk minta pertolongan. Cari jalan untuk keluar dari kegelapan tu, cari cara untuk kembali sihat. Diri kita berhak untuk sembuh. Moga hari-hari mendatang lebih baik dari hari-hari sebelumnya :)
Masjid SHAS UIAM Gombak,
10.10pm, 31 Disember 2022.
Comments
Post a Comment