Posts

Jaddid Hayatak

Jaddid hayatak. Perbaharui hidupmu. Suatu kata yang mudah diungkap, sukar dilaksanakan. Memperbaharui setiap hari kita, setiap detik, hanyasanya kepada Allah. Mengangkat sauh kebergantungan kita daripada manusia, dan menambat kepada Allahu Somad. Matlamat tak jelas, kita akan terhenti di pertengahan jalan. Menarik diri, merasakan kita tidak mampu. Sedangkan sekiranya diri kita tahu dan sedar, untuk siapa kita hidup, maka perkara tersebut tidak akan terjadi. Kerana Allah itu Maha Segalanya. Sekiranya matlamat kita duniawi, maka kita akan cepat putus asa, kerana dunia itu sifatnya, makin dicari, makin menjauh. Jumlah bukanlah ukuran suatu kejayaan. Majoriti tak semestinya betul, minoriti tak semestinya salah. Letakkan redha Allah yang pertama, kelak kamu akan bahagia. Perbaharui hidupmu. 8 September 2020 -Mahallah Umamah, CFS

keliru

aku keliru, setiap kali aku kusut diterpa masalah, terduduk menangis longlai di tanah, patutkah aku, memendamnya sehingga menjadi barah, atau mengangkat beban dengan cara meluah? aaah, hakikatnya, kalau aku lakukan kedua-duanya, aku kan tetap dipersalah, dipersalah kerana tidak meluah, kata mereka - mana mungkin mereka mengetahui isi hati mulut yang terkunci? kata mereka - dengan bicara dapat menjernihkan keadaan yang dihadapi. ketika itu, ligat otakku bekerja, mencari kata dan menyusun bicara, mengumpul hujah juga fakta, atas alasan apa aku lakukan sedemikian rupa. ketika lidahku sudah sedia untuk meluncurkan isi, ada suatu suara kecil dari lubuk hati, memintaku bersabar dan tenangkan diri, mungkin lebih baik untuk membiarkannya terkunci, agar tidak menyesal di kemudian hari,  dan tidak dipersalah atas perilaku ini.

Buat kamu :)

menulislah, tika tintamu selaras dengan hatimu. terjemahkan isi hati tatkala lidahmu kelu. satukan perasaan menjadi pelangi indah di langit biru, moga bermanfaat buat aku dan kamu. dan bacalah, dengan nama tuhanmu yang menciptakan.

aku dan bola

ibarat bola, kedudukan kita tidak akan pernah tetap. kadang diangkat disanjung dibangga, kadang jatuh merintih meratap. kadang menegur kadang ditegur, kadang mangadu kadang memujuk, kerana itu kita saling memerlukan, jauh sekali untuk salah mempersalahkan. ibarat bola, masa ini akan terus berlari, sesuai dengan aturan ilahi, sehingga ada daya yang menyebabkannya terhenti, seperti dalam fizik yang diajarkan cg izati. pasakkan kaki, teguhkan hati. perjalanan yang jauh dan berliku menanti, usah takut, usah gelisah. Dia tidak akan membiarkan kita sendiri. ibarat bola, semakin kuat dicampak, semakin tinggi lantunan dibalas. bukan ibarat kaca, yang berkecai apabila dilepas menyentuh tanah. Bilik B304 Darul Quran, 24 Januari 2020.

Sederhana

sederhana . sederhana dalam merasai, memberi, hatta mencintai. cintai kerana Dia, bermula dengan mencintai Sang Pemberi Rasa, kelak kau tidak akan kecewa apabila ditinggalkan mereka. as time flies, people change, memories fade, but He will remain still forever. كل من عليها فان. ويبقى وجه ربك ذوالجلال والإكرام. kadang sakitnya perpisahan, membuahkan kerinduan. kadang peritnya perpisahan, menyesali sebuah pertemuan. come on, be matured bal. move forward. Kelas Fast Track Darul Quran, 23 Disember 2019. catatan daripada Balqis 2023 : masa ni rasanya tengah move on dari perpisahan dengan kawan sekolah menengah kut haha tak ingat sangat. tapi serious, ambil masa lama nak move on, sedih sangat-sangat tak tahula pasaipa, padahal lepas tu jumpa ja lagi, cuma tula, tak sama dan takkan sama. apapapun, contengan ni masih relevan dan jadi peringatan untuk aku di hari ini untuk sentiasa menyederhanakan perasaan, dan untuk sentiasa asaskan cinta kerana Dia.

Sebuah Perjuangan

apalah erti sebuah penantian, ketika diriku jua tiada jawapan? biar masa yang menentukan, kerana yang terbaik itu perancangan Tuhan. tenanglah wahai jiwa, pulanglah pada Dia, percaya pada aturanNya, tidak sesekali Dia zalimi, hamba yang tulus mencintaiNya. aku diproses, kamu juga diproses. futur itu lumrah, sakit itu fitrah. katakan, perjuangan apa yang tidak menuntut pengorbanan? tiada, sama sekali tiada. maka, selamat berjuang sahabat. jihad terbesar itu melawan diri kita sendiri. cita-cita terbesar kita; menang, atau mati syahid, bukan? Masjid Darul Quran, 17 Disember 2019. catatan daripada Balqis 2023 : contengan ini masih relevan di masa kini. terima kasih Balqis 2019 kerana tidak berhenti berjuang, akan aku sambung perjuangan itu :’))

{tergendala}

Bismillah, buat yang selalu update dengan blog ini, aku memohon maaf kerana senggang kali ini agak lama. Ada beberapa perkara yang aku harus dapatkan kesahihan dan pencerahan daripada ustaz - ustaz sebelum meneruskan penulisan blog ini. Menulis blog yang  berfakta atau ‘formal’ ini mempunyai cabarannya tersendiri. Aku sudah jelas akan hal ini sebelum memilihnya sebagai jalan penceritaan blog ini. Dan pastinya, risiko dalam ketidakpastian sumber, fakta yang lemah, itulah yang menjadi cabaran buatku ketika ini. Namun tidak mengapa, kerana kita semua sedang diproses. Kesalahan - kesalahan yang telah aku lakukan sebelumnya akan menjadi peringatan - peringatan di kemudian hari. Dan kata salah seorang murobbiku, Cg Saadan, kita perlu ada banyak ‘tajribah’ (pengalaman) dan untuk mengadakannya, perlu bermula dari sekarang. Perlu lakukan apa yang kita boleh lakukan kini.